Ibu, bayi tercampak tren tiba-tiba terhenti

Ibu, bayi tercampak tren tiba-tiba terhenti

Ribuan pengguna terkandas di beberapa stesen LRT ekoran gangguan perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya, kelmarin. - MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang pengguna tren transit aliran ringan (LRT) menyaksikan sendiri bagaimana seorang ibu dan bayinya di dalam kereta sorong tercampak ke hadapan ketika tren berkenaan yang sedang bergerak laju tiba-tiba terhenti begitu sahaja.

Pelajar Universiti Malaya (UM), Adam Eji, 24, berkata, kejadian itu yang dipercayai berpunca daripada masalah teknikal tren berkenaan berlaku ketika dia menaiki LRT dari Stesen LRT KLCC menghala ke Stesen LRT Kampung Baru pada pukul 11.25 pagi Selasa lalu.

“Pada mulanya tren bergerak secara normal sehinggalah tren tiba-tiba brek mengejut dan berhenti di pertengahan landasan sebelum sampai ke Kampung Baru.

“Pada masa itu juga, terdapat seorang penumpang wanita dengan bayinya yang tercampak dan kereta sorongnya terbalik menyebabkan semua orang bergegas membantu bayi itu kerana panik,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Bagaimanapun, bayi tersebut bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan yang serius.

Menurut Adam, ramai penumpang lain terutamanya yang berdiri di dalam tren berkenaan turut tercampak ke atas lantai.

Beliau berharap berharap Rapid Rail Sdn. Bhd. lebih bertanggungjawab menyelesaikan masalah itu selepas ini sebelum terjadi insiden lebih teruk.

Dakwanya lagi, insiden tersebut berlaku pada pukul 11.25 pagi lagi dan bukan seperti dakwaan Rapid Rail yang mengatakan berlaku gangguan teknikal akibat sambaran petir yang disyaki mengaktifkan Sistem Keselamatan Hentian Kecemasan Pencerobohan Penumpang (PIES) pada pukul 5.46 petang Selasa lalu.

Seorang lagi pengguna LRT, Saifuddin Iskandar Tong, 30, berkata, pengalamannya semalam sangat teruk semasa menaiki LRT dari Stesen LRT KLCC ke Stesen LRT Universiti apabila tren berhenti lama di stesen-stesen sepanjang laluan.

“Apabila bergerak dari stesen Abdullah Hukum ke Kerinchi, tren tiba-tiba brek secara mengejut sebanyak dua kali dan berhenti.

“Sampai di Stesen LRT Kerinchi, masalah sama berlaku lagi. Tren brek mengejut sebanyak dua kali di tengah-tengah landasan menyebabkan orang ramai terkejut dan ketakutan,” ujarnya.

Kejadian yang sama turut dialami oleh Nur Alwani A. Bakar, 23, apabila tren LRT yang dinaikinya dari Stesen LRT Subang Jaya menuju ke Stesen LRT Kerinchi berhenti secara mengejut beberapa kali pada petang semalam.

“Diharapkan Prasarana Malaysia Berhad dan Rapid Rail Sdn. Bhd. mengambil serius isu ini agar tidak berlaku insiden yang tidak diingini pada masa akan datang kerana sudah banyak kali berlaku masalah berkaitan tren LRT,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN