Hajiji tidak hilang keabsahan sebagai Pengerusi GRS-

Hajiji tidak hilang keabsahan sebagai Pengerusi GRS-Maximus Ongkili

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Keputusan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengekalkan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Pengerusi GRS sekali gus menepis dakwaan mengenai keabsahannya sebagai pengerusi gabungan berkenaan.

Timbalan Pengerusi GRS, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata, keputusan mengekalkan Hajiji sebagai Pengerusi GRS itu dibuat dalam Mesyuarat AMT GRS yang diadakan pada 9 Disember lalu.

“Dalam mesyuarat tersebut, kami juga sepakat untuk menggugurkan keanggotaan Bersatu sebagai ahli badan gabungan dalam GRS.

“Kami juga bersetuju menyertai Kerajaan Perpaduan atas komitmen membina kerajaan yang stabil demi kepentingan kesejahteraan rakyat dan pembangunan tanah air,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Maximus, yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) itu berkata, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee atau Bersatu tidak ada hubungan dengan perjanjian persefahaman (MoU) Kerajaan Perpaduan yang prinsip dan matlamatnya telah ditolak oleh Bersatu.

Semalam, Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee menyatakan Datuk Seri Hajiji Noor yang dilantik sebagai Pengerusi GRS atas kapasiti beliau sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah sebelum ini tidak lagi mempunyai keabsahan untuk kekal sebagai Pengerusi GRS kerana tindakan beliau keluar daripada Bersatu.

Hajiji bersama semua empat ahli Parlimen dan 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu Sabah mengumumkan keluar daripada Bersatu pada 10 Disember lalu dan kekal sebagai wakil rakyat dalam GRS.

Empat ahli Parlimen itu ialah Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Matbali Musah (Sipitang) dan Datuk Jonathan Yasin (Ranau).

Sementara itu, 15 bekas ADUN Bersatu Sabah termasuk ADUN Dilantik ialah Hajiji Noor (Sulaman), Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Datuk Fairuz Renddan (Pintasan), Datuk Seri Masidi Manjun (Karanaan), Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar (Kawang), Datuk Mohd Arifin Mohd Arif (Membakut), Datuk Rubin Balang (Kemabong), Samad Jambri (Labuk), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (Apas), Datuk Hassan A Gani Pg Amir (Sebatik), Datuk Ruddy Awah (Pitas), Abdul Ghani Mohamed Yassin (Nabawan), Datuk Limus Jury (Kuala Penyu), Datuk Amisah Yassin (ADUN Dilantik) dan Jaffari Walliam (ADUN Dilantik). –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.