MoU AS–Iran, Madani Mart antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

MoU AS–Iran, Madani Mart antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peranan dan pendirian Malaysia berhubung pengumuman Memorandum Persefahaman (MoU) antara Amerika Syarikat (AS) dengan Iran bagi menamatkan konflik ketenteraan di Asia Barat dijadualkan dibincangkan pada Mesyuarat Dewan Rakyat, hari ini.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat melalui laman rasmi Parlimen, Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) bertanyakan Menteri Luar tentang perkara itu selain langkah yang akan diambil kerajaan Malaysia dalam memastikan keamanan berkekalan di rantau berkenaan.

Beliau mengajukan soalan itu pada Waktu Pertanyaan Pertanyaan Menteri sejurus sidang Dewan Rakyat bermula pada 10 pagi.

Pada sesi sama, Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan status terkini pelaksanaan inisiatif Madani Mart termasuk jumlah cawangan yang telah beroperasi, jumlah permohonan yang diterima dan jumlah usahawan terlibat.

Pada sesi soal jawab, Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) meminta penjelasan Menteri Dalam Negeri mengenai jumlah kes penagihan dadah sintetik yang direkodkan sejak 2023 hingga kini dan strategi kerajaan bagi menangani peningkatan penggunaan dadah itu termasuk ancaman fentanyl.

Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) pula bertanyakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri tentang status terkini pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Agreement on Reciprocal Trade (ART) antara Malaysia dengan AS.

Dalam pada itu, tiga rang undang-undang dijadualkan dibentangkan bagi bacaan kali pertama pada mesyuarat hari ini, iaitu Rang Undang-Undang (RUU) Penjara (Pindaan) 2026, RUU Persaingan (Pindaan) 2026 dan RUU Suruhanjaya Persaingan (Pindaan) 2026. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN