Generasi muda jauhi UMNO jika tiada pemilihan

Generasi muda jauhi UMNO jika tiada pemilihan

UMNO akan dijauhi generasi muda sekiranya jawatan-jawatan utama parti disekat daripada ditandingi pada pemilihan akan datang. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Generasi muda akan menjauhi UMNO sekiranya parti itu tidak mengadakan pemilihan dan menyekat pertandingan untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

Veteran politik, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, pemimpin tertinggi UMNO mesti berani menyahut cabaran dan mengekalkan prinsip demokrasi yang selama ini dipegangnya dengan mempertandingkan semua jawatan dalam parti itu.

”Jangan tutup pintu untuk pertandingan, semua jawatan termasuk Presiden dan Timbalan Presiden perlu dipertanding pada pemilihan akan datang.

”Kalau selepas pintu pertandingan dibuka dan tiada calon yang mahu bertanding itu perkara lain. Yang penting adalah UMNO perlu kekalkan demokrasi dalam parti,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata, Majlis Tertinggi (MT) parti itu belum membuat keputusan sama ada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden akan dipertanding dalam pemilihan parti Mac ini.

Menurut Mohd. Yussof, keadaan UMNO pada masa ini terutama selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) disifatkan amat kritikal untuk masa depan parti itu.

”Kita dapat lihat pada PRU15, saluran tiga dan empat yang rata-ratanya adalah pengundi muda menolak UMNO.

”Mereka yang pertama kali mengundi memberi undi kepada Perikatan Nasional (PN) kerana terpengaruh dengan kempen memburukkan UMNO ketika PRU15.

”Bayangkan apa nasib UMNO sekiranya pemimpin atasan enggan membenarkan jawatan tertinggi parti ditandingi. Sudah tentu imej UMNO di mata generasi muda akan rosak dan mereka menolak UMNO selama-lamanya,” katanya.

Katanya, imej UMNO perlu dipulihkan segera sekiranya parti itu mahu kekal relevan pada pandangan anak muda dan diterima semula oleh rakyat.

”Kita tidak dapat nafikan jasa UMNO dalam membangunkan negara, jadi pemimpin yang ada perlu menggalas tanggungjawab untuk pulihkan semula imej parti di mata anak muda,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×