Ganti pemimpin baharu ketuai UMNO negeri

Ganti pemimpin baharu ketuai UMNO negeri

UMNO perlu melihat perlunya pembaharuan di peringkat negeri dalam menarik semula sokongan pengundi pada pilihan raya umum akan datang. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : UMNO di peringkat negeri perlu memberi laluan kepada pemimpin baharu untuk memulihkan kepercayaan terhadap parti itu sebagai satu langkah mengekalkan kelangsungannya pada pilihan raya umum akan datang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, banyak kawasan luar bandar yang UMNO tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu sedangkan ia tidak seharusnya berlaku kerana kawasan luar bandar merupakan kubu kuat parti itu.

“Contoh paling dekat adalah di Kedah, pimpinan negeri itu tiada idea baharu untuk melawan Pas, kalau mahu ambil tindakan yang sama dan mengharapkan keputusan yang berbeza, tidak boleh.

“Dalam hal ini, ia melibatkan pelbagai faktor termasuk kepemimpinan. Kalau tidak mampu lakukan perubahan, lebih baik beri laluan kepada orang lain kerana rakyat mengukur prestasi UMNO dalam jangka masa pendek,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Pada PRU-15 lalu, beberapa negeri yang menjadi kubu kuat UMNO tewas termasuk Kedah dan Perlis, yang masing-masingnya di bawah kepimpinan Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Datuk Seri Azlan Man selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu.

Sementara negeri Pahang dan Perak pula, UMNO tidak dapat membentuk kerajaan secara bersendirian seperti sebelum ini kerana gagal mendapat majoriti.

Mengulas lanjut, Nur Jazlan turut berkata. beliau dalam masa yang sama turut mempertimbang untuk memberi laluan kepada orang lain dalam menggantikan kedudukannya sebagai Ketua Bahagian UMNO Pulai.

“Seperti di Johor, saya sendiri mempertimbang untuk memberi laluan kepada orang lain sebab kita memang susah menang di bandar. Tetapi di Johor ini kita melihat kepada peningkatan jumlah kerusi yang menang daripada 40 kepada 56 kerusi,” ujarnya.

Sementara itu, Nur Jazlan bersetuju agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.
Ini kerana jelasnya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan perlu diberi peluang untuk mengembalikan kelangsungan UMNO khususnya di kawasan bandar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×