Empat prinsip dalam Perlembagaan disepakati

Empat prinsip dalam Perlembagaan disepakati

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Agama Islam, hak istimewa Melayu, kedudukan Bahasa Melayu dan Institusi Diraja diambil kira dalam permuafakatan antara gabungan yang dibentuk dalam kerajaan perpaduan, semalam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, empat prinsip dalam Perlembagaan itu antara yang disepakati bersama antara gabungan berkenaan.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, segala kekhuatiran mengenai empat prinsip itu tidak lagi menjadi persoalan.

“Bagi Barisan Nasional (BN), permuafakatan ini diterjemahkan dalam bentuk persefahaman yang termaktub dalam Perlembagaan menjadi persetujuan bersama,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman kerjasama kerajaaan perpaduan semalam.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membantu Sarawak dalam menyelesaikan masalah terutama pemulihan ekonomi selepas pandemik Covid-19.

Katanya, kerjasama yang terbentuk akan meletakkan Malaysia pada kedudukan lebih stabil sekali gus meneruskan pembangunan agenda negara.

“Tahun depan, jangkaan ke­dudukan ekonomi negara tidak begitu baik dan kerjasama ini diperlukan bagi membantu meletakkan Malaysia pada kedudukan lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perjanjian tersebut adalah detik istimewa negara kerana Sabah amat memerlukan suasana stabil dan perpaduan yang kukuh.

“Sabah adalah sebuah negara yang besar dan ia penting dalam aspek ekonomi dan pembangunan di Sabah.

“Inilah matlamat kita dan saya yakin kerajaan perpaduan yang dipimpin Anwar akan menjadi satu kerajaan yang kuat dan satu kerajaan yang diharapkan pelbagai kaum,” katanya.

Sementara itu, Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, perjanjian tersebut akan memantapkan politik dalam negara dan apabila ada kestabilan, ekonomi juga akan turut stabil.

“Salah satu perkara dalam kandungan perjanjian ini ialah perkara 9 iaitu semangat Perjanjian 1963 (MA63) dan ia perlu disegerakan bagi memastikan Sabah dan Sarawak dapat diperkukuhkan,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya