Ejen hartanah didenda main judi Piala Dunia Qatar 2022

Ejen hartanah didenda main judi Piala Dunia Qatar 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang ejen hartanah didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan bermain judi pertaruhan bola sepak Piala Dunia Qatar 2022 secara dalam talian.

Tertuduh, Tan Kai Sen, 19, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Mohamad Ibrahim Mohammad Ghulam. Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara enam bulan jika tertuduh gagal membayar denda tersebut. 

Mengikut pertuduhan, Kai Sen didapati bermain judi pertaruhan bola sepak Piala Dunia Qatar 2022 secara dalam talian dengan menggunakan telefon bimbitnya di dalam bangunan tempat awam. Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran  di Pusat Komersial Saujana, S2 Height di Seremban kira-kira pukul 3.30 pagi, 14 Disember lalu.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6(1) Akta Pertaruhan 1953(Akta 495).  Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali. 

Terdahulu, Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Iwana Sakinah Mohd. Lajis memohon tertuduh diberi hukuman denda minimum kerana itu adalah kesalahan pertama dilakukannya. Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Muhaimin Mohd. Azman.

Berdasarkan fakta kes, pada pukul 3.30 pagi sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah Nilai menahan tertuduh dan semakan telefon bimbit mendapati terdapat paparan aplikasi aktiviti untuk tujuan perjudian pertaruhan bola sepak Piala Dunia Qatar 2022.

Kai Sen mengaku bermain pertaruhan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya