DUN Perak: 7,872 hektar tanah di Perak diceroboh - Utusan Malaysia

DUN Perak: 7,872 hektar tanah di Perak diceroboh

SAARANI MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seluas 7,872.71 hektar daripada 2,097,600 hektar keluasan tanah di negeri Perak diceroboh dengan aktiviti pembinaan kediaman, pertanian, penternakan dan perusahaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, berdasarkan statistik Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri Perak, aktiviti pertanian mencatatkan pencerobohan tertinggi seluas 7,307.59 hektar tanah atau 92.82 peratus.

Menurutnya, manakala seluas 400.09 hektar tanah digunakan secara tidak sah untuk aktiviti penternakan dan perusahaan manakala baki 165.03 hektar digunakan untuk tujuan pembangunan kediaman iaitu petempatan setinggan.

“Pihak berkuasa negeri telah mengambil tindakan bagi menyelesaikan isu ini dengan menubuhkan Jawatankuasa Usaha Haram dan Setinggan Negeri Perak.

“Jawatankuasa ini akan bersidang setiap suku tahun bagi memantau dan mengenal pasti aktiviti haram dan setinggan di atas tanah milik kerajaan negeri di samping melaksanakan tindakan-tindakan punitif bagi membanteras aktiviti pencerobohan tanah ini daripada terus berleluasa.

“Di samping itu, terdapat juga dasar penyelesaian pendudukan setinggan kediaman di atas tanah kerajaan yang telah diluluskan dalam MMK Bil. 2048 bertarikh 10 November 2021 melalui beberapa kaedah pelupusan tanah seperti pemberi milikan tanah kerajaan, pajakan tanah rizab dan pemberian Lesen Pendudukan Sementara serta perlaksanaan penguatkuasaan mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (Akta 828),” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.

Menurut Saarani, dasar itu memperuntukan tempoh pelaksanaan penyelesaian petempatan setinggan dalam tempoh lima tahun.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif tambahan dalam menyelesaikan isu penerokaan haram di atas tanah kerajaan antaranya, pemutihan tanah kerajaan melalui agensi.

Katanya, tujuan inisiatif ini adalah untuk memberi milik mana-mana tanah kerajaan negeri yang diteroka dengan aktiviti pertanian dan penternakan kepada pihak agensi dan perbadanan negeri untuk dipajak sewa kepada peneroka tersebut bagi membolehkan aktiviti mereka diteruskan seperti biasa.

“Analisis data menunjukkan dari tahun 2018 hingga tahun 2021, seluas 5,959.74 hektar tanah kerajaan yang diteroka oleh peneroka haram telah diberi milik kepada pelbagai agensi dan perbadanan milik kerajaan.

“Daripada jumlah tersebut, 3,930.79 hektar telah disewa atau dipajak kepada peneroka tersebut, 700.92 hektar telah dilaksanakan tindakan penguatkuasaan dan baki 1,328.03 hektar di dalam perancangan untuk pembangunan, penyewaan atau pajakan kepada peneroka haram,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya