Curi motosikal Honda Wave Alpha, jual RM1,000 di negara jiran - Utusan Malaysia

Curi motosikal Honda Wave Alpha, jual RM1,000 di negara jiran

TAN Cheng San (dua dari kanan) menunjukkan antara barangan yang dirampas daripada satu sindiket curi motosikal dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis daerah SPT, di Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini. - Pix IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Menyasarkan motosikal jenis Honda Wave Alpha untuk dicuri sebelum menyeludup kenderaan itu ke negara jiran untuk dijual pada harga jauh lebih murah daripada harga pasaran iaitu hanya kira-kira RM1,000 sebuah.

Itu modus operandi yang dipercayai digunakan dua suspek bagi mengelakkan kegiatan jenayah curi mereka berjaya dikesan pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, taktik dua lelaki warga tempatan itu bagaimanapun terbongkar apabila kedua-duanya diberkas oleh pasukan khas polis baru-baru ini.

Terdahulu katanya, pasukan khas itu ditubuhkan sejak dua bulan lalu untuk menjalankan operasi Op Lejang Wave Alpha susulan 10 laporan kecurian motosikal di kawasan parkir stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Bukit Mertajam dan Bukit Tengah di sini, antara Jun hingga Ogos lalu.

Beliau berkata, suspek pertama yang berusia 46 tahun ditangkap ketika berada di Padang Besar, Perlis kira-kira pukul 6.25 petang, 23 November lalu manakala suspek kedua berusia 41 tahun ditahan ketika berada berhampiran stesen bas di Butterworth tiga hari kemudian.

Ujarnya, susulan tangkapan tersebut, polis turut merampas dua buah motosikal, peralatan yang digunakan untuk mencuri kenderaan itu selain beberapa dokumen yang digunakan untuk merentasi sempadan negara jiran.

“Hasil soal siasat mendapati, sindiket ini hanya menyasarkan motosikal jenis Honda Wave Alpha di stesen-stesen KTMB, pasar awam dan hospital sebelum dicuri, diseludup dan dijual ke negara jiran.

“Dengan tertumpasnya sindiket ini, polis percaya turut dapat menyelesaikan sebanyak 87 kes kecurian motosikal setakat ini iaitu 30 kes di sekitar Pulau Pinang dan selebihnya di Kedah,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis daerah SPT, di sini hari ini.

Cheng San berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara antara satu hingga tujuh tahun selain dikenakan denda.

Jelas beliau, tempoh reman kedua-dua suspek turut dilanjutkan sehingga 4 Disember ini dan suspek pertama mempunyai 29 kes lampau berkaitan jenayah selain tiga kes berkaitan dadah manakala suspek kedua memiliki sembilan kes jenayah lampau.

Menurut beliau, ketika ditahan, kedua-dua suspek bebas daripada sebarang pengaruh dadah.

Difahamkan, motosikal curi yang diseludup ke negara jiran itu dijual kepada orang tengah atau orang persendirian untuk kegunaan harian termasuk bagi menjalankan kerja-kerja ladang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.