PETALING JAYA: Hanya 10 ke 20 peratus artis tempatan didakwa menerima bayaran yang setimpal dengan hasil seni masing-masing disebabkan ketiadaan akta khusus untuk pemain industri termasuk garis panduan bayaran kepada anak seni.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Rozaidi Jamil atau lebih dikenali Zed Zaidi berkata, artis yang menerima bayaran tinggi tersebut boleh dikesan melalui kekerapan mereka muncul di kaca televisyen.
Menurut beliau, fenomena semasa kerap menyaksikan hanya artis sama yang mendapat tawaran di stesen-stesen televisyen.
“Jadi, memang harga boleh dituntut untuk dibayar tinggi tetapi macam mana pula dengan artis yang tidak diberi peluang.
“Bermaksud, artis yang tak diberi peluang ini, harga bayaran mereka adalah lebih rendah. Kalau yang tak dapat tawaran banyak ini, bagi bayaran berapa pun dia tak menolak,” katanya semalam.
Menurut beliau, ekosistem industri hiburan yang menjadi cacamerba sehingga mendiskriminasi bayaran dalam kalangan artis berpunca daripada kerajaan.
“Kesilapan utama berlaku apabila kerajaan gagal memberi jaminan dalam bentuk akta khusus kepada pemain industri seni.
AKTA INDUSTRI KREATIF
“Contohnya, kita mencadangkan menubuhkan Akta Industri Kreatif. Saya konsisten berjuang untuk akta ini. Sebab kita ini dipanggil industri, tetapi jaminan dari sudut perundangan kita tiada. Sedangkan golongan pembantu rumah pun ada akta tersendiri. Padahal kita penyumbang kepada Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK) yang agak signifikan, dua peratus KDNK disumbangkan oleh industri seni.
“Kemudian apabila kita cuba mewujudkan akta ini, kita jumpa kerajaan. Mereka kata okay, minta kita menyediakan rangka dan struktur kepada akta ini. Bertahun-tahun masa diambil untuk pihak kami meneliti dan merangkakan kertas cadangan. Kemudian dalam proses mahu merangka garis masa, buat kajian dengan universiti dan sebagainya, bertukar pula menteri,” katanya.
Apabila berlaku pertukaran menteri, Zed berkata, sudah tentu akan berlaku rombakan terhadap cadangan polisi sedia ada yang dibawa industri ini.
“Apabila menteri bertukar, ideologi menteri baharu pula, dia minta tukar itu dan ini. Kemudian, pilihan raya, bertukar pula kerajaan. Apabila ini berlaku, mereka terus tak mahu pula kuatkuasakan akta ini. Jadi soalannya, bilakah masalah ini mahu selesai?
“Inilah masalah kelompongannya, masalah birokrasi, kerana mereka anggap industri ini tidak penting sedangkan kita penyumbang kepada ekonomi negara,” kata beliau.
PELAWAK
Sementara itu, dedah Zed lagi, berbanding semua kategori seni dan hiburan semasa, pelawak merupakan segmen mendapat bayaran paling tinggi berbanding segmen lain.
“Sekarang, bayaran paling mahal adalah pelawak. Sebab, di Malaysia ini cuma yang lawak saja dapat menarik minat penonton.
“Dalam keadaan industri sekarang, kalau dibandingkan kategori-kategori seperti pelakon, penyanyi, pengacara dan pelawak, sekarang ini pelawak adalah kategori gaji paling tinggi. Pelawak ada pakai kereta Ferrari,” katanya.
Zed berkata, industri lawak negara ini berevolusi daripada program yang dahulunya dianggap tiada nilai, tetapi sekarang mampu melahirkan bakat-bakat yang menaikkan nilai bayaran penggiat seni.
Dalam pada itu, beliau berkata, ada dalam kalangan pelawak mendapat bayaran sehingga ratusan ribu ringgit sebulan.
Hal ini, kata beliau disebabkan kebolehan luar biasa pelawak yang jarang-jarang dimiliki oleh kategori seniman yang lain.
“Kamu rasa, semua orang boleh jadi pelawak? Tetapi, pelawak pula, mereka berkeupayaan untuk menjadi sesiapa seperti mengacarakan majlis, membawa watak-watak serius dan sebagainya..
“Pelawak ini mendapat permintaan tinggi. Apabila dia boleh berlawak, itu mampu menghiburkan penonton. Semua pihak mahukan mereka. Diberikan watak filem pun, penonton mahu. Menyanyi pun, orang mahukan mereka. Lebih-lebih lagi apabila dipanggil stesen-stesen radio,” katanya.
BAYARAN
Mengulas isu sama, artis veteran Norliza Abdullah sewaktu dihubungi berkata, dalam soal bayaran terhadap artis, ada dua perkara perlu diberi perhatian.
“Pertama, artis yang sepatutnya dan selayaknya menerima bayaran setimpal, atau kedua artis baru yang tidak selayaknya dibayar. Adakala, segelintir artis baharu tidak terlalu memberi keutamaan terhadap harga bayaran yang selayaknya mereka dapat. Ada yang tidak kisah sangat pasal bayaran asalkan mereka dapat peluang. Kemudian, apabila ada nama, senang mereka mahu dapat endorsement.
“Bagi artis lama pula, untuk meneruskan kehidupan, mereka tidak ada pilihan. Jadi, jika bercakap tentang bayaran terhadap artis sama ada setimpal atau tidak, ia subjektif,” katanya.
Menjelaskan lanjut katanya, ada artis yang merasakan bayaran RM10,000 sudah cukup besar dan setimpal.
“Namun, bagi artis yang perbelanjaan sehari pun sudah RM2,000 ke RM3,000 mungkin jumlah itu tak setimpal,” katanya.- UTUSAN










