fbpx

Calon tarik diri akan diumum menang jika dapat undi tertinggi

ABDUL Ghani Salleh (tengah) meninjau pusat mengundi di SMK Sultan Badlishah, Padang Serai di Kulim.

KULIM: Calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Padang Serai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman yang menarik diri akan tetap diumumkan sebagai pemenang jika mendapat undi tertinggi.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, kemenangan mereka juga dikira keputusan rasmi memandangkan mereka merupakan calon yang sah.

“Kita umum (sebagai pemenang) sebab calon yang tarik diri hanya (dibenarkan) waktu pencalonan sahaja pada hari yang berkenaan (penamaan calon).

“Jadi selepas pukul 10 pagi, sudah tak ada. Maknanya walaupun tarik diri, kalau dia menang tetap disahkan sebab dia layak bertanding,” katanya selepas meninjau pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Badlishah di sini.

Sebelum ini, calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Padang Serai, Datuk C. Sivaraj dan calon Parti Warisan, Mohd. Bakhri Hashim mengumumkan menarik diri bagi memberi laluan kepada calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Mohamad Sofee Razak.

Di Tioman, calon PH, Mohd. Fadzli Mohd. Ramly mengambil pendirian memberi laluan kepada calon BN, Datuk Seri Mohd. Johari Hussain sebagai tanda kesepakatan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri dan nasional.

Pengundian di kedua-dua kawasan itu diadakan pada hari ini susulan kematian calon PH di Parlimen Padang Serai pada 16 November dan calon Perikatan Nasional (PN) pada 19 November.

Sementara itu, Abdul Ghani berkata, statistik keluar mengundi setakat pukul 9 pagi ini di Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman masing-masing mencapai sembilan peratus.

Kata beliau, kehadiran pengundi muda pada sebelah pagi masih rendah disebabkan beberapa faktor termasuk hari mengundi yang jatuh pada hari bekerja dan kejohanan bola sepak Piala Dunia 2022.

“Di saluran empat, lima, enam dan tujuh agak perlahan sedikit orang muda ini mungkin agak sibuk tengok bola dan bekerja. Bagaimanapun saya lihat semangat orang di Padang Serai ini terutamanya amat baik,” katanya.

Dalam pada itu, jelas Abdul Ghani, keputusan rasmi bagi Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman dijangka dapat diumumkan selewat-lewatnya pukul 10 malam ini. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN