Bicara ditangguh, Shahrir mohon kes dipercepat

Bicara ditangguh, Shahrir mohon kes dipercepat

Shahrir Ab. Samad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tan Sri Shahrir Ab. Samad memohon Mahkamah Tinggi di sini mempercepat prosiding perbicaraan terhadap beliau bertujuan membersihkan namanya daripada pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Peguam Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros yang mewakili bekas Pengerusi Felda itu memberitahu, kes itu sudah mengambil masa selama tiga tahun sejak siasatan dijalankan dan anak guamnya masih berjuang membersihkan namanya yang dikaitkan dengan gelaran kluster mahkamah ekoran pertuduhan dihadapinya.

Ujarnya, kes tersebut disiasat dalam tempoh empat bulan bermula September 2019 (manakala tertuduh didakwa pada 21 Januari 2020) menyebabkan namanya turut terpalit sebagai kluster mahkamah.

Syed Faisal memaklumkan, anak guamnya tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) atas alasan untuk berlaku adil kepada para pengundi Parlimen Johor Bahru.

“Siasatan hanya mengambil masa empat bulan sedangkan anak guam saya sengsara menanggung stigma sebagai kluster mahkamah dengan menghadapi segala ketidaktentuan prosiding yang panjang dan membayar kos guaman,” ujar beliau.

Peguam bela selanjutnya menyatakan, perbicaraan itu telah menyebabkan identiti keluarga iaitu isterinya Shahrizan Abdullah dan anaknya Marisa Diyana turut terdedah dan memberi kesan yang mendalam terhadap mereka sekeluarga.

Ujarnya, Marisa Diyana yang kini menghidap tumor dan sukar untuk berjalan serta memerlukan penjagaan rapi menyebabkan Shahrir kehilangan masa untuk bersama-sama dengan anaknya setiap kali beliau hadir ke mahkamah.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menangguhkan prosiding hari ini dan menetapkan perbicaraan disambung pada 22 dan 23 Disember serta 5 Januari depan.

Mahkamah dijadual menyambung keterangan saksi penting pendakwaan iaitu pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Penolong Penguasa Nurzahidah Yacop yang sepatutnya mula disoal balas oleh pembelaan.

Ketika pemeriksaan utama semalam, saksi pendakwaan ke-22 itu berkata, Najib menyerahkan sendiri cek RM1 juta kepada bekas Pengerusi Felda itu di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, sembilan tahun lalu.

Ketika mahkamah mula bersidang hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Azmi memaklumkan Nurzahidah tidak hadir kerana tidak sihat sejak semalam manakala sijil cuti sakit dikeluarkan oleh Klinik Kesihatan Putrajaya.

Rasyidah Murni menegaskan pihak pendakwaan tidak berniat melengah-lengahkan masa mahkamah namun keadaan kesihatan saksi tidak seharusnya dipandang `enteng’ (ringan) selain memohon tarikh perbicaraan pada 22 dan 23 Disember yang ditetapkan sebelum ini, dikekalkan.

Bagaimanapun Syed Faisal menyatakan, pihak pembelaan menghormati permohonan penangguhan tersebut namun tidak pernah memandang isu kesihatan sebagai perkara `enteng’ kerana Shahrir turut mempunyai anak yang menghadapi masalah kesihatan yang memerlukan pertimbangan mahkamah.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd. ‘Afif Ali turut berkata, pihak pendakwaan tidak berniat menangguhkan prosiding kerana keterangan pegawai penyiasat pada pemeriksaan utama berjaya diselesaikan semalam meskipun saksi itu dilihat berada dalam keadaan tidak sihat.

“Kami menasihatkan beliau untuk bertahan kerana kes ini mendapat liputan meluas pihak media dan kami tidak mahu kes ini mendapat komen umum jika ditangguhkan.

“Yang Arif melihat sendiri saksi batuk-batuk dan suaranya bergetar ketika memberi keterangan dan kami beri dia semangat supaya bertahan sampai petang sehingga saksi sendiri memohon penangguhan untuk ke klinik,” ujar Mohd. ‘Afif.

Shahrir, 72, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan.

Tindakan itu didakwa bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April 2014.

Shahrir didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.