Belgium balik awal, Croatia teruskan kemaraan - Utusan Malaysia

Belgium balik awal, Croatia teruskan kemaraan

Belgium gagal meneruskan kemaraan ke pentas 16 terbaik selepas sekadar seri tanpa jaringan berdepan Croatia, sebentar tadi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA : Belgium antara pasukan besar pertama yang meninggalkan Piala Dunia Qatar 2022 selepas sekadar seri 0-0 ketika berdepan Croatia pada aksi terakhir peringkat Kumpulan F, di Stadium Ahmed bin Ali sebentar tadi.

Bagi Croatia yang merupakan naib juara 2018 keputusan seri tanpa jaringan ini memastikan mereka mengiringi Maghribi ke pusingan 16 terbaik selaku kedudukan kedua terbaik kumpulan dengan mengutip lima mata berbanding Maghribi dua mata mengatasinya.

Dibarisi bintang seperti Kevin De Bruyne, Romelu Lukaku, Thibaut Courtois dan Eden Hazard,  Belgium yang dibimbing Roberto Martinez ternyata gagal memecah kebuntuan jaringan walaupun dilihat lebih mengancam berbanding lawan.

Turun dengan misi memburu kemenangan, Belgium mempamerkan corak permainan menyerang menerusi bahagian tengah yang dipimpin De Bruyne, Dries Mertens dan Yannick Carrasco.

Croatia juga tidak kurang hebatnya dengan peranan ketua pasukan Luka Modric, Mateo Kovacic dan Andrej Kramaric cuba mengimbangi perlawaan.

Lukaku memiliki beberapa peluang menjaringkan gol namun ketumpulan penyudah memastikan Belgium sekadar seri tanpa jaringan.

Memasuki minit ke-15, Croatia diberikan sepakan penalti susulan kekasaran pemain Belgium dalam kotak penalti namun kemudiannya dibatalkan ketika Modric sudah pun bersedia untuk melakukan sepakan tersebut.

Ini susulan keputusan pengadil perlawanan yang melihat kembali Video Bantuan Pengadil (VAR) yang mengesan Kramaric  sudah berada dalam keadaan offside sebelum kekasaran berlaku.

Walaupun kedua-dua pasukan melancarkan serangan namun tiada sebarang gol terhasil sepanjang 45 minit babak pertama.

Aksi lebih menarik ditampilkan pada babak kedua dimana banyak peluang terbaik dicipta pemain Croatia dan Belgium dalam usaha mereka untuk memburu jaringan.

Percubaan pertama hadir pada minit ke-49 menerusi pemain gantian, Romelu Lukaku, bagaimanapun tandukannya selepas menerima hantaran Kevin De Bruyne dalam kawasan penalti ditangkap kemas Dominik Livakovic.

Berselang seminit kemudian, giliran Kovacic pula mengancam kubu Belgium tetapi penjaga gol Thibaut Courtois lebih bersedia untuk menafikan percubaan dalam kawasan penalti itu.

Lukaku berpeluang untuk mendapatkan jaringan kemenangan buat Belgium tetapi rembatan jarak dekat dilakukannya sekadar singgah di tiang gol ketika Livakovic hanya mampu melihat sahaja percubaan pada minit ke-60 itu.

Peluang terhidang terus menjelma  buat Lukaku pada masa kecederaan namun tolakan lemahnya selepas menerima hantara dari Thorgan Hazard nyata menghampakan penyokong Belgium.

Kedudukan itu kekal hingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan Croatia menjadi naib juara kumpulan dan akan bertemu juara kumpulan E (antara Sepanyol, Jepun, Jerman dan Costa Rica). -AGENSI

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.