Banjir: Tiga bekas tentera terperangkap atas pokok lima jam - Utusan Malaysia

Banjir: Tiga bekas tentera terperangkap atas pokok lima jam

DARI kiri, Wan Azmi Wan Ibrahim, Rusli Muhammad dan Abd. Latif Jamaludin yang terperangkap atas pokok setelah terkandas banjir di kawasan Paya Dadeh, Kampung Bukit Tokbat, Hulu Terengganu. hari ini. - UTUSAN/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Tiga bekas tentera terperangkap atas pokok lebih lima jam setelah terkandas dalam kejadian banjir di kawasan Paya Dadeh, Kampung Bukit Tokbat, di sini sejak semalam.

Abd. Latif Jamaludin, 54, Wan Azmi Wan Ibrahim, 50, dan Rusli Muhammad, 42, terpaksa memanjat pokok leban sebelum berjaya dibawa keluar oleh rakan mereka, Mohd. Fauzi Sufian, 51, kira-kira pukul 10 pagi tadi.

Menurut Abd. Latif, sebelum kejadian mereka bertiga sedang menjalankan aktiviti pertanian Projek Tanaman Sayur Koperasi Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Daerah Hulu Terengganu.

“Kami sampai di kebun sekitar pukul 8 pagi semalam sebelum hujan lebat berterusan kira-kira dua jam hingga menyebabkan kawasan kebun bertukar menjadi lautan. Sewaktu tiba, hujan cuma renyai sahaja.

“Kira-kira pukul 12.45 tengah hari, Rusli keluar untuk membeli makanan tengah hari tetapi gagal apabila paras air di laluan keluar sudah dipenuhi air sedalam hampir satu meter. Dia kemudiannya berpatah semula ke kawasan kebun.

“Kami berlindung di pondok terlebih dahulu dengan harapan paras air akan surut, namun sebaliknya pula berlaku. Semakin lewat petang, paras air makin tinggi,” katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Tokbat, di sini, hari ini.

Tambahnya yang berasal dari Kampung Undang, Kuala Terengganu, sekitar pukul 3.30 pagi tadi mereka akhirnya mengambil keputusan memanjat pokok bagi selamatkan diri kerana paras air sudah melebihi kedalaman dua meter.

Katanya lagi, mereka hanya alas perut dengan mee segera dan biskut sepanjang terkandas serta terperangkap atas pokok sebelum rakannya berjaya tiba sekitar jam 9 pagi tadi dengan sebuah bot fiber dibawa seorang penduduk kampung.

“Jarak kawasan kami terkandas dengan jalan raya utama lebih lima kilometer. Keadaan gelap serta laluan begitu berisiko, menyukarkan pasukan menyelamat datang membantu.

“Mujurlah telefon Wan Azmi masih berfungsi untuk kami hubungi rakan dan pihak PVATM Cawangan Hulu Terengganu. Telefon saya sendiri kehabisan bateri,” ujarnya.

Abd Latif memberitahu, pengalaman mereka bertiga dalam dunia ketenteraan banyak membantu berdepan situasi berkenaan dan tidak menjadikan mereka cemas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya