KANGAR: Tiada rakyat Malaysia yang bercuti di negara jiran dilaporkan terkandas berikutan banjir yang melanda wilayah Songkhla, Thailand termasuk Hatyai.
Pengerusi Jawatankuasa Hubungan dan Kerjasama Sempadan negeri, Izizam Ibrahim berkata, beliau tidak menerima sebarang laporan buat masa ini berhubung mana-mana rakyat Malaysia yang terkandas disebabkan kejadian banjir itu.
Katanya, hal demikian kerana terdapat laluan alternatif boleh digunakan untuk keluar dari kawasan berkenaan.
“Setakat dua hari lepas memang tak ada laluan untuk keluar tapi saya dimaklumkan terdapat laluan alternatif yang boleh digunakan untuk rakyat kita keluar dan pulang ke Malaysia.
“Buat masa ini, tiada rakyat kita yang dilaporkan terkandas di sana,” katanya ketika ditemui di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan hujan berterusan selama dua hari menyebabkan banyak jalan raya yang menghubungkan daerah di Songkhla, Thailand termasuk Hatyai dilanda banjir.
Menurut laporan Bangkok Post, jalan lama antara daerah Muang dan Hatyai ditutup pada pagi Ahad disebabkan oleh kejadian itu.
Dalam pada itu, Izizam berkata, anggota penguat kuasa Thailand mengambil tindakan pantas dengan memberi amaran awal kepada orang ramai berhubung bencana itu bagi membolehkan langkah seterusnya diambil.
“Rakyat Malaysia juga dinasihatkan untuk berhubung dengan penguat kuasa di Thailand sekiranya terkandas bagi memohon bantuan sewajarnya,” katanya.
Tambahnya, kerajaan negeri juga sentiasa berhubung dan mendapatkan perkembangan terkini daripada kerajaan Thailand berhubung kejadian bencana yang berlaku itu bagi memastikan tiada rakyat Malaysia terjejas. – UTUSAN