Banjir: Agong titah jaga keselamatan keluarga 

Banjir: Agong titah jaga keselamatan keluarga 

AL-SULTAN Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah) diiringi Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyantuni mangsa banjir di PPS SK Beserah di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar rakyat yang terjejas banjir sentiasa berwaspada dan menjaga keselamatan ahli keluarga masing-masing.

Titah baginda itu susulan beberapa kejadian yang meragut nyawa sejak banjir melanda beberapa negeri termasuk Pahang, Terengganu dan Kelantan bermula Ahad lalu. 

“Saya ingin memberi nasihat kepada rakyat khusus yang dilanda banjir di negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan harus berwaspada dengan keadaan cuaca ketika ini.

“Dengarlah arahan-arahan pihak kerajaan supaya dipindah atau tinggal di PPS (pusat pemindahan sementara) di kawasan-kawasan tertentu. 

“Dalam pada itu saya juga nasihat kepada kaum ibu bapa jagalah anak-anak atau cucu supaya mereka tidak kehilangan dalam keadaan macam ini,” titah baginda ketika ditemui pemberita selepas berkenan melawat PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Beserah dan meluangkan masa menyantuni mangsa-mangsa banjir di situ di sini hari ini. 

Berangkat sama, pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. 

Al-Sultan Abdullah juga bertitah agar mangsa yang ditempatkan di PPS agar sentiasa menjaga kebersihan.

“Saya harap tempat-tempat PPS ini sentiasa berada dalam keadaan bersih dan guna bilik-bilik tandas dengan sebaik mungkin. Jagalah kebersihan di PPS dan banyaklah bersabar,” titah baginda.

Seorang mangsa banjir, Nur Hadawiah Daud, 29, melahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas sumbangan yang diterima khususnya kurniaan Seri Paduka. 

Beliau yang menetap di Kampung Alur Ladang, Beserah berpindah ke PPS Beserah semalam bersama ibunya, Hasnah Hasim, 67, dan bapanya, Daud Awang Senik, 66.

“Menjunjung kasih Tuanku atas kurniaan sumbangan yang diberikan yang sedikit sebanyak dapat membantu dan meringankan beban kami sekeluarga,” katanya.

Bercerita lanjut tentang banjir yang melanda kampungnya itu, Nur Hadawiah berkata, ia sesuatu di luar jangkaan kerana rumah didiaminya itu sudah lama tidak dinaiki air.

“Kali terakhir adalah pada 2013. Sebelum itu memang tiap-tiap tahun. Kemudian tiada banjir dan secara tiba-tiba kali ini banjir pula. Memang tidak sangka,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya