Azalina mahu semak semula undang-undang lapuk

Azalina mahu semak semula undang-undang lapuk

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urusan Undang-Undang dan Reformasi Institusi) mahu menyemak semula undang-undang relevan pada masa kini.

Menurutnya, sebagai contoh dalam usaha pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya untuk memelihara kebebasan budi bicara Pendakwa Raya.

“Saya juga akan memastikan isu-isu berkaitan undang-undang dan reformasi institusi yang tertunggak, termasuk status kewarganegaraan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu-ibu warganegara Malaysia akan diteruskan.

“Jika perlu, undang-undang sedia ada dipinda untuk mengembalikan hak kesaksamaan kepada rakyat yang terpinggir mengikut lunas-lunas Perlembagaan Malaysia, dan yang tidak diberi layanan sama rata di negara kita,” katanya dalam satu kenyataan semalam. 

Namun, beliau percaya terdapat banyak cabaran yang bakal dihadapi oleh Kerajaan Perpaduan dalam mengharungi penggal yang akan datang dengan mengambil kira kesan pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi yang dijangka berlaku pada tahun depan.

Justeru, beliau berharap semua wakil rakyat daripada pelbagai parti memberikan kerjasama yang baik untuk menangani cabaran tersebut.

“Saya tidak akan mengambil mudah kepercayaan yang diberikan dan saya akan melakukan yang terbaik untuk melaksanakan tugas yang telah diamanahkan,” katanya.

Terdahulu, Azalina merupakan antara 27 ahli Parlimen yang mengangkat sumpah jawatan menteri yang baharu di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya