Apa jadi Lembaga Ruminan Negara?

Apa jadi Lembaga Ruminan Negara?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan digesa me­laksanakan dengan serius Lembaga Ruminan Negara yang pernah dicadangkan sejak lapan tahun lalu bagi membantu memulihkan industri ternakan negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ini termasuk Pelan Strategik Pembangunan Industri Peda­ging Negara (2021-2025) yang mem­punyai inisiatif khusus membangunkan industri berke­naan, namun sektor pedaging di­lihat masih jauh ketinggalan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Presiden Kelab Generasi Transformasi Ru­­mi­nan Malaysia (GTR), Nordin Mat berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) yang bertanggungjawab dalam reformasi in­dustri berkenaan langsung ti­dak menampakkan sebarang pe­ru­bahan sehinggakan Malaysia ter­paksa bergantung kepada im­port untuk menampung keper­luan bahan makanan itu.

Katanya, pada masa ini Malaysia hanya mengeluarkan 23 peratus daging lembu dan JPV hanya dilihat ‘lebih suka menjaga’ import daging sahaja yang benilai lebih RM3 bilion setahun.

“Saya mahu bertanya kembali kepada JPV apa jadi dengan cadangan Lembaga Ruminan Negara sejak 2014 lagi diumumkan untuk dilancarkan tapi sampai sekarang terus senyap?

“Ini gara-gara JPV sendiri yang tidak mahu ia dilaksanakan kerana dipercayai mereka akan hilang kuasa, sedangkan mereka sendiri tak mampu untuk membangunkan industri ruminan.

“Jadi, perubahan kepemimpinan dalam kementerian yang diterajui menteri dan timbalan menteri baharu perlu merombak semula JPV ini dari segi komponen kepakaran industri atau perlu ada lembaga ini untuk membangunkan industri,” katanya di sini semalam.

Walaupun pelbagai dasar dan insentif dilaksanakan kerajaan, namun untuk 2020, Malaysia ha­nya mengeluarkan 23 peratus daging lembu, manakala penge­luaran daging kambing 11 peratus.

Bagi memenuhi keperluan ne­gara, mengikut data Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan kerajaan terpaksa mengimport daging yang semuanya berjumlah RM4.2 bilion pada 2021.

Mengulas lanjut, Nordin ber­kata, sudah terlalu lama JPV berhibernisasi dalam pemba­ngunan industri, apatah lagi keanggotaan dalam jabatan ini terdiri daripada doktor veterinar yang hanya tahu membuat polisi kesihatan teknikal, namun tidak ada kepakaran dalam pembangunan industri.

Katanya, input daripada JPV kepada kementerian dan pihak menteri juga tidak menjurus kepada pembangunan tetapi lebih kepada kawalan penyakit saha­ja, justeru sudah tiba masanya jabatan berkenaan memerlukan pakar industri dan pengurusan.

“Ia perlu terdiri daripada pakar teknikal dan komersial untuk memajukan industri ruminan secara khusus. Kalau JPV ni terlalu luas bidangnya dari telur, babi, unggas, ruminan, daging, produk asas, latihan, penguatkuasaan dan lain-lain, maka ia agak sukar untuk dimajukan.

“Bagaimanapun, orang yang menerajui lembaga ini perlu dipilih betul-betul, bukan dalam kalangan JPV atau bekas pimpinan JPV. Ia perlu diletakkan ahli perniagaan, atau bekas pegawai tinggi diplomat yang ada kuasa tertinggi yang tahu punca kuasa,” katanya.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan industri ternakan negara akan kekal di takuk lama apabila wujud agensi-agensi kerajaan seperti JPV yang kini dimonopoli oleh para pegawai dalam jurusan yang sama iaitu veterinar.

Ini kerana pegawai-pegawai tersebut hanya mempunyai kepakaran yang cenderung dalam aspek perubatan veterinar dan kurang terlibat dalam aspek ternakan asas sumber makanan.

Sedangkan agensi tersebut memerlukan kepakaran dalam pelbagai bidang lain khususnya pengurusan ternakan sumber makanan, pengurusan perniagaan, pembangunan sumber manusia serta pemasaran bagi meningkatkan industri tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini