Anggota Rabbani, Rithauddeen semakin pulih daripada serangan strok - Utusan Malaysia

Anggota Rabbani, Rithauddeen semakin pulih daripada serangan strok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keadaan anggota kumpulan Rabbani, Rithauddeen Yaakob yang dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor, empat hari lalu kini semakin pulih.

Perkembangan itu dikongsi ketua kumpulan tersebut, Azadan Abdul Aziz yang sempat menziarahi rakannya itu, semalam.

“Keadannya semakin baik, malah kaki dan tangan juga sudah boleh digerakkan sedikit demi sedikit.

“Buat masa ini, dia kena banyak berehat dan perlu menjalani latihan fisioterapi sebagai langkah pemulihan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Rithauddeen dikejarkan ke hospital pada 8 Disember lalu selepas diserang strok ringan ketika bermain badminton.

Kata Azadan lagi, apa yang berlaku mengejutkan seluruh anggota Rabbani yang mengenali Rithauddeen sebagai seorang yang aktif dan rajin bersukan.

“Ini juga menjadi peringatan kepada kami agar menjaga kesihatan, lebih-lebih lagi bab pemakanan, selain rehat yang mencukupi.

“Sakit, ajal dan maut tidak mengenal usia. Jadi, masing-masing kena jaga kesihatan,” katanya lagi.

Pada masa yang sama, Azadan juga memaklumkan, Rithauddeen kini direhatkan daripada mengikuti persediaan menjelang Konsert 25 Tahun Simfoni Kesyukuran Rabbani yang bakal berlangsung pada 30 Disember ini.

“Buat masa ini, kami rehatkan dia. Tengok keadannya dalam seminggu dua ini. Kalau masih lemah, mungkin dia direhatkan daripada membuat persembahan pada konsert itu nanti,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN