Lima anggota tentera alami kelesuan haba ketika latihan - Utusan Malaysia

Lima anggota tentera alami kelesuan haba ketika latihan

A. SIVANESAN (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan faedah pemulihan kepada penerima Faedah Insurans Pekerjaan Perkeso di Ipoh hari ini. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seramai lima anggota tentera yang terlibat dalam latihan medan di kawasan hutan berhampiran Sungai Siput baru-baru ini mengalami simptom kelesuan haba berikutan cuaca panas berterusan yang melanda negeri Perak sejak Mei lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A.Sivanesan berkata, kesemua mereka merupakan anggota tentera yang terlibat dalam Eksesais Keris Strike 2025.

“Menurut laporan awal yang diperoleh daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Kangsar, kejadian berlaku pada 27 Julai lalu dengan kesemua mangsa berusia antara 22 hingga 39 tahun.

“Kesemua lima mangsa telah dirawat di Hospital Kuala Kangsar. Tiada kematian atau kes dirujuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dilaporkan,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Faedah Insurans Pekerjaan dan Mini Karnival Kerjaya MyFutureJobs di Wisma Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Perak, di sini hari ini.

Sivanesan berkata, difahamkan, pada hari kejadian, suhu persekitaran kawasan latihan yang tinggi dan aktiviti lasak berterusan menyumbang kepada simptom kelesuan haba dalam kalangan tentera yang telah berada di lokasi latihan selama tiga hari berturut-turut.

Menurutnya, mereka mengalami gejala seperti pening, loya, hampir pitam dan keletihan.

“Mereka telah menerima rawatan awal daripada petugas perubatan Rejimen Air Pos (RAP) sebelum dihantar ke unit kecemasan.

“Kes berkenaan telah dilaporkan kepada Unit Kawalan Penyakit Berjangkit (KPAS) di peringkat daerah Kuala Kangsar dan negeri bagi tujuan pengesahan, selain terus dipantau oleh Bilik Gerakan PKD Kuala Kangsar.

“Setakat ini, tiada kes kematian berkaitan strok haba dilaporkan di negeri Perak dan tiada rekod baharu dicatatkan,” katanya.

Mengenai program hari ini, Sivanesan berkata, seramai 16 individu terdiri daripada pencarum dan waris menerima faedah di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), termasuk melalui Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).

Menurutnya, antara penerima ialah waris kepada Allahyarham Mohd Hairol Md Naiaman, 49, pencarum SKSPS yang ditemukan tidak sedarkan diri di tandas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika menghantar penumpang, sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 3 November lalu.

“Turut menerima faedah ialah waris Rohani Mohd Yusoff, 51, ibu tunggal yang merupakan pencarum SKSSR dan meninggal dunia akibat kanser sarcoma pada 1 Januari.

“Melalui skim ini, waris menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) dan bayaran bulanan Pencen Penakat, membantu mereka meneruskan kehidupan selepas kehilangan ahli keluarga yang menjadi pencarum aktif, katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN