KUALA LUMPUR: Polis merampas dadah jenis syabu dan ketamin bernilai RM18 juta selepas menahan seorang lelaki di sebuah rumah teres di Taman Sri Hartamas di sini pada 29 Julai lalu.
Penahanan lelaki berusia 30 tahun itu dibuat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di kediaman tersebut pada pukul 2.10 petang.
Hasil penahanan itu, sebanyak 225 bungkusan plastik mengandungi dadah disyaki syabu seberat 234 kilogram (kg) ditemukan selain 200 bungkusan plastik disyaki ketamin dengan anggaran berat 205.7kg dirampas.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussien Omar Khan berkata, lelaki yang ditahan berperanan sebagai penyelaras dalam menghantar dadah-dadah berkenaan kepada pembeli mereka dengan menerima bayaran di antara RM6,500 sehingga RM7,000.
Katanya, rumah teres dua tingkat itu telah disewa atas namanya bagi tempoh setahun bagi menyimpan dadah-dadah tersebut.
“Kami (polis) percaya dadah-dadah berkenaan telah diperoleh dari negara jiran di sebelah utara sebelum disimpan di rumah sewa berkenaan.
“Dadah itu akan dibungkus semula bergantung kepada permintaan pembeli sebelum penghantaran dilakukan bagi pasaran tempatan termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Hussien berkata, siasatan mendapati ini bukan kali pertama lelaki berkenaan terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah sebaliknya telah melakukan penghantaran sebanyak sepuluh kali sebelum ini.
Hussien memaklumkan, pihaknya percaya penghantaran kali ini adalah jumlah terbesar yang pernah dilakukan.
“Jumlah dadah yang dirampas mampu merosakkan seramak 1.85 juta orang yang menggunakannya,” jelasnya.
Hussien menambah, suspek telan direman selama enam hari sejak 30 Julai lalu bagi membantu siasatan.
Jelasnya, ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dari sebarang jenis dadah dan mempunyai satu rekod lampau.
“Tindakan juga diambil di bawah Akta Dadag Berbahaya (pelucuthakan harta) 1988 dengan menyita aset bernilai RM93,350 terdiri dua buah kenderaan pelbagai jenama selain tiga utas jam tangan serta telefon bimbit,” katanya.
Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.-UTUSAN










