KOTA TINGGI: Pasangan kekasih dicekup berkhalwat oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di sebuah bilik hotel di sini semalam dipercayai tidak pulang ke rumah kerana bimbang dimarahi keluarga.
Dalam serbuan kira-kira pukul 9 pagi itu, lelaki berusia 26 tahun dari Muar dan pasangannya berumur 21 tahun dari Pekan Nanas, Pontian menyewa bilik hotel berkenaan sejak pukul 3 pagi selepas pulang lewat daripada menziarahi saudara sempena musim buah-buahan kali ini.
“Pasangan terbabit memaklumkan mereka tidak pulang ke rumah kerana bimbang dimarahi bapa wanita tersebut sekiranya pulang lewat malam,” demikian menurut sumber JAINJ.
Difahamkan, pasangan berkenaan pada mulanya bercadang untuk menyewa dua bilik berasingan, namun akhirnya memutuskan untuk berkongsi sebuah bilik atas alasan berjimat.
“Siasatan awal mendapati lelaki itu membuka pintu bilik dalam keadaan hanya memakai seluar panjang tanpa baju, manakala wanita terbabit mengunci diri dalam tandas. Dia kemudian keluar dengan memakai baju lengan panjang dan bertuala,” katanya.
Pasangan itu turut mengaku turut merancang untuk berkahwin namun masih belum berkemampuan dari segi kewangan.
Pasangan tersebut ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana disyaki berkhalwat yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.-UTUSAN










