Agenda budaya Salammusik - Utusan Malaysia

Agenda budaya Salammusik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA ditemu bual Cooliomag untuk Gig 100 Rondivu beberapa bulan lalu, saya katakan bahawa The Venopian Solitude dan Salammusik merupakan dua kugiran terbaik Malaysia ketika ini, mengikut pandangan saya. 

Dua kugiran ini punya magis tersendiri, lebih-lebih lagi dari segi persembahan langsung. Tidak peliklah mereka antara kugiran tempatan yang berjaya di luar negara. 

Salammusik mencipta nama dengan lagu Cerita Kedai Kopi, kira-kira 13 tahun lalu hasil kolaborasinya bersama Malique dan DJ Fuzz. 

Pada 2011, mereka menerbitkan album sulung, Salam Musik dan mencipta kejutan apabila memenangi anugerah Album Terbaik dalam Anugerah Industri Muzik (AIM). 

Tiada lagi toleh belakang buat Salammusik selepas itu. Pengiktirafan tertinggi dalam industri muzik negara itu dimanfaatkan untuk membawa nama mereka ke luar negara.

KOMUNITI ANGKAT BUDAYA 

“Kita bukan kugiran, kita komuniti,” kata Payung (trumpet) apabila saya tanyakan jumlah anggota Salammusik. 

Keahlian kugiran itu sangat luwes. Mereka ada 11 ahli asas tetapi bilangan itu boleh bertambah, berkurang atau ahlinya berubah mengikut keperluan persembahan atau rakaman. 

Mereka berfungsi seperti komuniti, seperti yang dikatakan oleh Payung. Sejak awal penubuhan Salammusik, mereka sudah punya kesedaran dan agenda untuk memikul beban budaya dalam penghasilan muzik. 

“Masa aku duduk luar (negara) dulu, banyak jumpa orang yang main muzik. Ada seorang DJ ini, dia tanya muzik apa yang kami main. Waktu itu kami main muzik yang hip hop sikit, reggae sikit.

“Dia tanya, apa muzik kami? Waktu itu aku tak ada benda yang boleh ditunjukkan kepada dia, apa muzik kita. Tidak ada benda yang aku cipta untuk mewakili budaya kita.

Dari situ aku dapat kesedaran yang kita kena buat bunyi kita sendiri,” cerita Atjap (vokal). 

Peristiwa tersebut berlaku sekitar 2009, pada fasa awal Salammusik ditubuhkan. Kata Atjap, kesedaran untuk mencipta bunyian Malaysia melalui budaya muzik tradisional negara telah meresap dalam perjalanan muzik Salammusik sejak album pertama lagi.

Antara lagu yang menandakan kesedaran tersebut ialah Malam Doa, sebuah lagu yang dicipta berdasarkan puisi Sasterawan Negara, Datuk Seri A. Samad Said tentang Ramadan.

KEKAL YANG ASAL 

Salammusik mahu muzik mereka mampu mencerminkan budaya pelbagai etnik di Malaysia. 

Walaupun tidak dapat merangkumi kekayaan seluruh budaya etnik yang ada dalam negara ini, mereka sudah meneroka banyak bunyian.

“Asasnya, kami tidak mahu budaya ini hilang,” kata Payung. 

Mereka cuba memanfaatkan budaya yang ada dalam kalangan ahli terlebih dahulu dan mengembangkannya menjadi bunyian unik milik mereka sendiri. 

“Dia akan jadi bunyi Salammusik,” kata Atjap. 

Layanan Salammusik terhadap muzik tradisional sangat menarik. Mereka faham keperluan untuk memodenkan bunyi tradisional supaya relevan dengan zaman namun ia tidak dilakukan secara berlebihan. 

Lagu-lagu seperti Menyemai Kemungkinan dan Debar Lembut pekat bunyi tradisional tetapi tidak pula janggal di telinga anak muda. 

“Apabila kami buat, bunyi instrumen tradisional dikekalkan tetapi instrumen moden lain yang akan membawa bunyi (moden). Kita tak nak manipulasi instrumen tradisional itu,” kata Payung. 

Menurut Atjap pula, proses mereka kebiasaannya dimulakan dengan bunyian dari instrumen tradisional yang asli dari Payung. 

Tugas Atjap pula adalah untuk memanipulasikan bunyian tersebut dengan instrumen lain untuk menjadikannya kedengaran moden. 

Kata mereka, bunyian tradisional moden sebegitu boleh didengari paling jelas dalam album ketiga mereka, Riwayat (2019).

BISIKAN PANDEMIK 

Pada 20 Disember ini, album keempat Salammusik akan tersedia di semua platform digital utama. 

Album ini mengandungi 19 buah lagu, campuran antara lagu-lagu yang mereka telah terbitkan sebagai single dengan adunan baharu, lagu baharu dan versi persembahan langsung beberapa lagu. 

Diberi nama Bisikan Sukma, Atjap ada cerita menarik tentang judul album ini. 

“Aku di Amsterdam semasa pandemik dan kami rakam album ini ketika itu. Disebabkan rumah yang aku duduk itu rumah kayu, aku perlu nyanyi dengan perlahan, macam berbisik sebab tak nak ganggu jiran. 

“Itu antara sebab album ini diberi nama Bisikan Sukma,” terangnya. 

Katanya, lagu-lagu yang pernah diterbitkan sebelum ini dimuatkan kembali dalam album ini kerana ia mempunyai karakter yang berbeza berbanding lagu-lagu yang ada dalam tiga album mereka sebelum ini. 

Pada 30 Disember ini juga, mereka akan mengadakan persembahan istimewa sempena pelancaran album tersebut. 

Bertempat di The Bee, Publika, pembeli tiket juga akan mendapat sebuah kaset album tersebut yang memuatkan 16 lagu, tanpa lagu-lagu versi persembahan langsung. 

Bagi yang mahu mendalami muzik dan agenda budaya yang dibawa Salammusik, boleh dapatkan tiket dan bergembira di The Bee, 30 Disember ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya