Jangan lupa kerap ziarah kubur

Jangan lupa kerap ziarah kubur

ADA yang hanya menziarahi kubur keluarga setahun sekali. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEKIRANYA pohon ketapang, kapuk, kemboja dan durian yang menaungi tanah perkuburan abah itu boleh menjadi periwayat, pastillah pohon-pohon itu akan menceritakan kepura-puraan manusia pada setiap lebaran.

Pohon-pohon itu akan bercerita bagaimana si anak dan si adik hanya menjengah setahun sekali itu pun tergesa-gesa, lalu membacakan Al-Fatihah untuk Allahyarham.

Setahun sekali pohon-pohon raksasa itu menjadi saksi kepiluan si anak dan si adik. Itu pun sebentar sahaja. Kemudiannya si anak dan si adik akan meneruskan rutin yang biasa, lalu meninggalkan tanah perkuburan itu sepi untuk dikunjungi setahun lagi.

Lumrahnya, setahun sekali di pagi raya, di mana-mana pun, tanah perkuburan akan dikunjungi manusia. Setahun sekali kesenduan datang dan air mata mengalir bebas. Seperti jutaan manusia lain di pagi raya, saya memastikan kerja pertama saya ialah menziarahi pusara abah. Abah meninggal 15 tahun yang lalu.

Tanah perkuburan menjadi tempat bertemu teman lama, saudara jauh dan bekas jiran yang sudah lama tidak ditemui. Agaknya bersalaman dan bertanya khabar di tanah perkuburan besar ertinya. Sebab sekalipun ringkas, cukup bermakna.

Tanah perkuburan itu bernasib baik kerana kalaupun banyak pohon yang tua dan membahayakan tetapi kawasannya terjaga rapi.

Manusia yang mengunjunginya datang entah dari mana. Sebahagiannya hanya ditemui setahun sekali. Sebahagian mereka bukan anak tempatan. Tetapi keramaian pagi raya di tempat seperti itu sebenarnya jauh lebih menginsafkan dari sebarang khutbah raya di pagi mulia itu.

Manusia tidak mengenal kelas dan kedudukan di situ. Tetapi di tanah perkuburan itu, kemuliaan ditinggalkan dan darjat dilupakan.

Di sini tidak ada hamparan merah untuk yang bernama dan bergelar. Atau yang turun dari istana. Sebab di sini yang ada hanya manusia yang mencari keinsafan selain menunaikan tanggungjawab menyedekahkan Al-Fatihah dan bacaan ayat suci lainnya kepada yang dikasihi dan diingati.

Agaknya selain di Padang Arafah apabila semua manusia berpakaian sama semasa musim haji, di tanah perkuburanlah letaknya kesamarataan yang sebenar. Di tanah perkuburan ini kasut paling mahal tidak ada harganya. Selipar Jepun sebenarnya lebih baik digunakan. Kalau tidak pun capal murah dari Pekan Rabu.

Di sini juga makna kekeluargaan begitu dihargai. Orang yang dikasihi mungkin sudah pergi berpuluh tahun tetapi entah mengapa mereka menjadi begitu dekat. Agaknya inilah tempat yang paling baik untuk menjadi humble dan sederhana atau untuk menyedarkan diri.

ARIF MUSTAQIM MD SALLEH
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN