SAUDARA PENGARANG,
BEBERAPA hari selepas insiden kes samun Akhyar Rashid, timbul pula serangan asid terhadap seorang lagi pemain kebangsaan, Faisal Halim. Kemudian Syafiq Rahim pula menjadi mangsa apabila keretanya dipecah. Ini menunjukkan pelaku seolah-olah memberi isyarat terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Pada mulanya, saya fikir mungkin berkait soal kelab tetapi melihat latar belakang pemain, mereka beraksi dalam kelab yang berbeza tetapi cuma satu persamaannya mereka adalah pemain bola sepak yang dipilih mewakili negara.
Kejadian ini seharusnya memberi iktibar kepada FAM supaya menitikberatkan soal keselamatan pemain kerana merupakan aset utama persatuan ini. Saya khuatir mereka yang melakukan ini mempunyai dendam dengan orang yang mempunyai pengaruh dalam badan FAM.
Seperti mana orang lain, saya menggesa pihak polis untuk mengesan individu yang melakukan perbuatan khianat ini dan menyiasat modus operandi mereka. Jika benar, ini adalah amaran seseorang untuk sasar FAM dan jika kejadian seperti ini berterusan, saya fikir pengurusan FAM perlu dirombak segera kerana membabitkan keselamatan dan nyawa seseorang di bawah persatuan tersebut.
Pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan penuh dan mengambil kira dari pelbagai aspek. Saya tidak fikir ini adalah jenayah biasa memandangkan pelaku kejadian sudah menyasar tiga pemain kebangsaan negara. Saya bersimpati dengan nasib pemain-pemain tersebut dan harap mereka dapat pulih sepenuhnya daripada trauma kejadian ini.-UTUSAN
YUSLAINI AZMI
Aktivis










