KUALA LUMPUR: Penyanyi, Afgan memaklumkan, dia semakin prihatin menjaga kesihatan mental dengan berjumpa psikiatri setiap bulan.
Kata penyanyi asal Jakarta, Indonesia itu, perkara tersebut menjadi rutin bulananyang tidak ditinggalkan sejak 2020.
“Tidak dinafikan, 2020 adalah tahun yang sukar untuk semua orang di mana ada di antara kita terpaksa bersendirian, selain hidup berjauhan gara-gara pandemik.
“Saya pula tidak dapat merakam lagu dan membuat persembahan. Perkara itu membuatkan saya diserang mental block dan burn out.
“Justeru, saya dapatkan bantuan daripada psikiatri untuk memastikan kesihatan mental dalam keadaan baik dan terjaga,” katanya pada sidang media konsert Afgan Evolution Kuala Lumpur, semalam.
Konsert tersebut bakal berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pukul 8.30 malam ini.
Bercerita lanjut, Afgan memberitahu, dia kini lebih tenang dan gembira selepas menerima banyak manfaat menerusi sesi bersama pakar kesihatan mental yang dihadirinya setiap bulan tanpa gagal.
“Saya lebih spiritual, tenang dan gembira. Pada masa sekarang, saya banyak bermeditasi dan melakukan terapi diri. Saya lakukan semua ini untuk kesihatan mental,” ujarnya.