SHAH ALAM: Para pengguna masih berkira-kira sama ada mahu membeli telur ayam tempatan yang harganya lebih mahal atau telur import yang masih dikhuatiri kualiti dan keselamatannya.
Seorang pengguna, Nor Hasimah Ismail, 39, berkata, dia meragui kualiti telur import berbanding tempatan berdasarkan tahap kebersihan, rasa serta ketahanannya dan rela mendapatkan telur tempatan yang lebih mahal.
“Keluarga kami tidak pernah pun guna telur import, berpuluh tahun guna telur tempatan. Jadi, memang sudah biasa makan telur tempatan, walaupun bukan setiap hari. Kami bimbang apabila guna telur import, rasanya berbeza, takut tidak sedap dan risau juga rasa masakannya akan berubah.
“Jadi, buat masa ini saya fikir lebih baik beli telur omega, walaupun harganya sedikit lebih mahal, tetapi kita tahu kualiti, tahap kebersihan dan rasa. Tidak banyak berbeza dengan telur biasa,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, berbeza pula bagi seorang lagi pengguna, Hussin Ali, 40, apabila memaklumkan dia lebih rela menggunakan telur import jika harganya lebih murah.
“Telur boleh dikatakan menjadi lauk rutin keluarga kami, kalau tidak jadi menu utama pun ia akan jadi menu sampingan supaya ada pilihan untuk anak-anak makan sekurang-kurangnya sebiji sehari.
“Cuma masalah sekarang adalah bekalan telur yang murah susah dapat. Saya tidak tahu apa masalah yang berlaku dalam rantaian perniagaan telur, tetapi kalau ada telur import yang harganya lebih mahal pun tak guna juga kerajaan benarkan import. Tetapi, saya harap masalah ini tidak berlarutan sampai tahun depan,” luahnya.
Dalam tinjauan di sekitar bandar raya ini, bekalan telur dalam peket ekonomi iaitu 30 biji sepapan bagi gred A dan B masih sukar untuk diperoleh berbanding C yang dijual sekitar RM16 hingga RM18 sepapan.
Bagaimanapun, stok bagi Gred C pula kuantitinya tidak banyak dan hanya terdapat di sesetengah pasar raya sahaja berbanding kedai runcit dan pasar awam.
Namun, telur import seperti diuar-uarkan sebelum ini masih belum kelihatan dekat rak-rak barangan di pasar raya kecuali stok tempatan seperti telur organik dan omega dalam peket 10 dan 15 biji.
Sementara itu di PULAU PINANG: Pemborong dan pembekal telur ayam di sekitar pusat bandar di sini masih belum menerima bekalan telur ayam import buat masa ini.
Kebanyakkan mereka masih bergantung pada bekalan telur ayam tempatan walaupun berdepan dengan masalah kekurangan bekalan telur ayam segar.
Seorang pemborong dan pembekal telur ayam, Faisal Sidek berkata, dia tidak menolak kemungkinan untuk mendapatkan telur import bagi menampung permintaan pengguna.
”Telur ayam tempatan bagi semua gred masih mengalami kekurangan dan kami berharap bekalan telur ayam akan segera pulih bagi menampung permintaan pengguna,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, bekalan telur dihantar kepada pihaknya sebanyak tiga kali seminggu, namun masih belum mencukupi.
“Pelanggan saya terdiri daripada peniaga-peniaga kecil dan memang terdapat peningkatan permintaan telur kerana sekarang musim cuti sekolah.
”Setiap kali bekalan telur dihantar memang bekalan akan cepat menyusut, ramai pelanggan merungut sekiranya mereka tidak dapat membeli telur seperti biasa,” katanya. – UTUSAN










