fbpx

Farihin pernah disangka ‘pengganas’

“SENI itu berkembang dalam apa suasana. Pilihlah jalan seni yang selamat dan setiap cabaran tetap
dilalui dengan istighfar.”

Itu kata-kata komposer legenda, Farihin Abdul Fattah tatkala mengupas perihal seni.

Katanya, seni itu bebas dan terserah kepada pelaku mencorakkannya.

‘Air tangan’ lelaki ini pernah memotret kejayaan kumpulan Raihan yang mula menapak dalam industri seni sejak 1986.

Raihan yang membawa maksud haruman dari syurga berjaya mewangi di seantero dunia.

Beliau adalah sosok yang bertanggungjawab memandu arah perjalanan seni kumpulan yang dianggotai Che Amran Idris, Amran Ibrahim, Abu Bakar Md. Yatim dan bekas ahli, Nazrey Johani.

Farihin pernah menguruskan Raihan mengadakan persembahan di Stadium Tertutup Singapura pada 1997.

Sambutan yang diterima sangat hebat apabila penonton yang hadir melebihi 10,000, sekali gus mengatasi jumlah penonton yang memenuhi konsert Michael Jackson pada 1995 di lokasi sama.

Jelasnya, dia langsung tidak menjangka sambutan hebat semasa konsert yang merupakan persembahan
pertama Raihan di luar negara dalam skala besar.

“Pihak Warner Music Singapura memaklumkan, konsert Michael Jackson tidak sampai 10,000 penonton memenuhi stadium. Namun, sebaliknya berlaku semasa Raihan datang ke sana.

“Fenomena ini mungkin disebabkan Raihan masih baru dan ketika itu, nasyid kontemporari sudah meresap dalam industri hiburan.

“Apatah lagi dengan muzik nafas baharu, kemunculan mereka memecah dominasi genre popular lain,” katanya.

Fenomena antarabangsa Raihan merupakan kumpulan nasyid pertama merangkul anugerah Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album pada Anugerah Industri Muzik (AIM), 1993.

Menerusi album Senyum, kumpulan tersebut menjadi tumpuan lensa industri muzik apabila jualan album mereka saban tahun mencecah ratusan ribu unit.

Menurut Farihin, 57, selain negara Asia Tenggara, Raihan pernah dijemput menjayakan persembahan di Edinburgh, Scotland yang dihadiri 13 wakil negara Komanwel.

Ketika itu, katanya, Raihan hanya menyampaikan dua lagu iaitu Puji-Pujian dan Selawat dengan penampilan sederhana serta diiringi alat perkusi ringkas.

“Lokasi persembahan ini sama seperti di Istana Budaya.

“Dengan kuasa Allah SWT, dewan yang dipenuhi 95 peratus penonton bukan Islam bangun memberikan standing ovation dan tepukan gemuruh,” katanya.

Persembahan Raihan bukan sahaja menarik minat rakyat biasa, bahkan Raja Britain, Raja Charles III turut menzahirkan kekaguman sehingga menyifatkan Raihan lebih bagus daripada kumpulan sensasi, Spice Girls.

Farihin berkata, ketika itu Spice Girls adalah kumpulan yang menjadi fenomena di seluruh dunia.

“Raja Charles berangkat ke belakangpentas dan menegur kami serta memohon keizinan untuk pegang kompang.

“Baginda sangat merendah diri dan secara berseloroh memaklumkan, Raihan lebih bagus daripada Spice Girls,” katanya.

DISYAKI PENGGANAS

MASIH segar dalam ingatan Farihin pengalaman ketika menjalani penggambaran Salam UK di Ireland, lapan tahun lalu.

Pada 26 September 2014, dia bersama enam kru produksi ditahan di Manchester selama dua hari kerana disyaki sebagai pengganas sebaik tiba di UK.

Jelasnya, ketika itu pihak produksi berhasrat mencari bahan dokumentari mengenai hubungan baik antara umat Islam dengan penduduk bukan Islam di sana.

“Kemungkinan misi kami dihidu pihak tertentu seperti anggota perisikan. Semasa memasuki Manchester dari Ireland, kenderaan kami ditahan.

“Saya masih ingat mereka cakap terhidu bau cecair bahan letupan. Saya tidak tahu sama ada mahu ketawa atau terkejut apabila anggota keselamatan bercakap begitu,” kongsinya.

Farihin berkata, pihak keselamatan kemudian menghantar anjing memasuki van sebelum mereka dipisahkan.

“Asalnya kami disoal siasat selama empat jam, tetapi berlarutan sehingga lapan jam. Tangan kami digari dan diberikan pakaian seperti seragam forensik.

“Sepanjang berada dalam sel tahanan, layanan mereka sangat baik, malah kami dibekalkan dua naskhah
al-Quran.

“Nota yang membebaskan kami tertera: Boleh ditahan semula pada bilabila masa dirasakan perlu,” ujarnya.

PANDAI BERZANJI

FARIHIN berkongsikan kehidupan awal ketika membesar di Singapura. Katanya, penghijrahan ke Kuala Lumpur adalah kerana
ingin mencari erti kehidupan sebenar.

“Ketika saya masih kecil, ada persatuan belia yang aktif di Masjid Mujahidin di Greentown, Singapura.

“Ada gerakan ekonomi belia seperti menghasilkan sos cili dan rangkaian perniagaan umat Islam lain.

“Ketika itu, agak sukar mencari produk halal. Jadi, saya melihat ia sebagai gerakan yang baik, selain turut membaca risalah mengenai al-Arqam. Itu juga menjadi pencetus kepada permulaan untuk saya berhijrah,” kongsinya.

Jika disebut tentang Asmaul Husna yang dizikirkan sejak zaman sekolah, Farihin adalah individu yang bertanggungjawab memperkenalkan irama tersebut.

Katanya, dia mendapat inspirasi daripada Ikhwanul Muslimin di Mesir dan kagum dengan penyusunan lagu tersebut.

“Asmaul Husna adalah projek pertama yang masih dinyanyikan di sekolah sehingga sekarang.

“Saya masih ingat Che Wahab dulu memiliki syarikat rakaman OVA, sebelum membuka Telaga Biru. Dia memberikan peluang
untuk saya harmonikan lagu tersebut,” jelasnya.

SYUKUR 21

FARIHIN atau nama penuhnya, Farihin Abdul Fatah bukan sahaja berbakat besar dalam penghasilan lagu, malah dia juga individu yang bertanggungjawab menghasilkan filem Islamik pertama, Syukur 21.

Penghasilan filem ini jelasnya, dihasilkan bertitik tolak daripada tawaran seorang individu yang mahu menghasilkan filem mengenai Raihan.

Ketika itu, dia berusaha mencari latar tempat bagi menterjemahkan idea filem muzikal berkenaan.

Jelasnya, filem itu merupakan adaptasi cerpen yang ditulis oleh Ustaz Pahrol Mat Juoi, Darul Takwa 21 yang menceritakan kehidupan mukmin pada zaman akan datang.

“Saya tidak mempunyai pengalaman menghasilkan filem dan sempat mengikuti kursus singkat bersama U-Wei Haji Saari, Mahadi J. Murat dan Jamal Ismail.

“Filem ini tidak sematang yang kita harapkan, tetapi itulah percubaan pertama,” katanya

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN