50,000 syarikat PKS bakal ‘bungkus’ - Utusan Malaysia

50,000 syarikat PKS bakal ‘bungkus’

PENGUSAHA perusahaan kecil dan sederhana bakal gulung tikar jika Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) melebihi paras 3.25 peratus. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dianggarkan hampir 50,000 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bakal gulung tikar sekiranya Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) melebihi paras 3.25 peratus tahun depan.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Abdul Halim Husin berkata, ia disebabkan pertambahan bayaran pinjaman yang dikenakan kepada golongan berkenaan ekoran pe­ningkatan OPR.

Menurut Abdul Halim, berdasarkan statistik yang diperoleh DPMM bagi tahun ini, terdapat lebih 30,000 pengusaha PKS terutamanya Melayu dan Bumiputera telah muflis.

“Awal tahun ini, DPMM menjangkakan 30,000 hingga 50,000 peniaga akan gulung tikar dan sekarang sudah ada lebih 30,000 yang muflis disebabkan keadaan ekonomi semasa.

“Sekiranya OPR dinaikkan melebihi daripada yang sepatutnya, kami jangkakan 50,000 lagi peniaga bakal gulung tikar tahun hadapan dan ia ekoran ketidaktentuan ekonomi global 2023,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Abdul Halim berkata, kerajaan perlu lebih peka dan mengambil langkah lebih tuntas dengan membantu golongan berkenaan sekiranya berlaku kenaikan OPR secara berterusan.

Jelasnya, pemberian moratorium selama tiga bulan setiap kali kenaikkan OPR dilihat mampu membantu PKS daripada muflis dan memastikan kelangsungan perniagaan golongan tersebut.

“Bila OPR naik ramai golongan pengusaha terutamanya yang mempunyai pinjaman terpaksa menambah bayaran kepada bank dan kita menyatakan hasrat kepada kerajaan baharu supaya perkara ini dibendung bagi mengelakkan PKS jatuh muflis.

“Sebab itu, DPMM memberi cadangan setiap kali BNM menaikkan OPR, satu moratorium diberikan kepada pengusaha selama tiga bulan untuk mereka menyesuaikan diri bagi membayar pinjaman yang bertambah.

“Pengusaha ini mempunyai masa menyelaraskan harga jualan di pasaran bagi membolehkan mereka membayar pinjaman secara berterusan,” katanya.

Ditanya sama ada penstrukturan semula pinjaman lebih baik daripada pemberian moratorium atau sebaliknya, Abdul Halim berkata, pihaknya melihat pemberian moratorium merupakan kaedah terbaik membantu PKS semasa kenaikan OPR.

Katanya, penstrukturan semula pinjaman dengan menambah tempoh bayaran bakal membebankan peniaga kecil bagi tempoh jangka masa panjang.

“Kalau mereka memanjangkan pembayaran kita tetap kena membayar cuma kita membayar pada masa lebih panjang, bermakna ada kemungkinan ge­nerasi kedua terpaksa membayar hutang tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya