PETALING JAYA : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menjalankan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa melibatkan proses kelulusan beberapa projek pembangunan yang dikatakan menjejaskan fungsi kolam takungan air di sekitar Kuala Lumpur.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar berkata, kertas siasatan dibuka pada 2022 susulan aduan berhubung dakwaan salah guna kuasa melibatkan beberapa pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pengairan dan Saliran Kuala Lumpur (JPSKL) bagi tempoh antara tahun 2015 hingga 2021.
Katanya, antara dakwaan yang disiasat termasuk penukaran status beberapa kawasan berhampiran kolam takungan air di ibu negara termasuk di Taman Wahyu bagi tujuan pembangunan.
“SPRM telah menjalankan siasatan secara menyeluruh berdasarkan dokumen dan keterangan yang diperoleh sebelum kertas siasatan dilengkapkan pada tahun 2023 dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
“Bagaimanapun, berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan, tiada unsur rasuah dikenal pasti dan kes telah diputuskan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA),” katanya di sini hari ini.
Katanya, SPRM telah memberi peringatan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya memperketat pemantauan dan kawal selia terhadap projek pembangunan berhampiran kolam takungan air bagi memastikan semua syarat dan spesifikasi yang ditetapkan dipatuhi sepenuhnya oleh pihak kontraktor.
Katanya, peringatan itu telah diberikan pada tahun 2023 setelah didapati tiada elemen rasuah yang dikenalpasti dalam siasatan ke atas kelulusan projek pembangunan berhampiran kolam takungan air itu.
“Namun begitu, sekiranya berlaku sebarang pelanggaran syarat atau pembangunan yang menjejaskan fungsi kolam takungan air.
“Maka perkara itu berada di bawah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan untuk mengambil tindakan serta memberi penjelasan memandangkan aspek pemantauan, kawal selia dan kelulusan pembangunan adalah di bawah bidang kuasa DBKL,” jelasnya.
Sebelum ini, Hannah mendedahkan kapasiti kolam takungan banjir di Jinjang dan Batu menyusut kepada kira-kira 30 peratus selepas 17 lot tanah dipindahkan kepada pemaju.
Jumlah keluasan asal kolam takungan banjir adalah 114.5 hektar membabitkan 17 lot tanah, namun kini hanya tinggal 34.35 hektar badan air selepas pemberian milikan.
Bagaimanapun, selepas pendedahan itu, bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menafikan beliau mempunyai pengetahuan mengenai pemindahan tanah kolam takungan banjir kepada pemaju di ibu negara ketika memegang jawatan berkenaan. – UTUSAN










