HULU TERENGGANU: Polis Terengganu menggerakkan kesemua 2,992 pegawai dan anggotanya bagi hadapi bencana banjir yang sedang melanda di negeri sejak semalam.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, setakat ini, pihaknya tidak mempunyai masalah dari segi kekuatan anggota, namun berhadapan kekangan pengangkutan bagi menjalankan operasi memindah dan menyelamatkan mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara (PPS).
“Beberapa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) ada meminta penambahan aset bagi menghadapi banjir kali ini yang agak buruk berbanding musim tengkujuh sebelum ini antaranya Kemaman, Besut dan Setiu.
“Buat masa ini kita masih gunakan aset-aset dari Terengganu sendiri, bagaimanapun kita turut memohon bantuan aset daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), selain aset Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Simpanan Persatuan (PSP).
“Tapi itu tidak mencukupi lagi. Kita juga dimaklumkan pihak Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu memohon daripada Putrajaya bantuan segera dari segi aset jentera berat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di PPS Kampung Kua, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai kelewatan bekalan makanan di PPS, beliau berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan semua pihak terlibat telah lakukan yang terbaik namun menghadapi kekangan untuk akses masuk ke lokasi hantar bekalan.
Setakat pukul 2 petang tadi, seramai 17,515 mangsa daripada 5,018 keluarga dipindahkan di 217 PPS di lapan daerah di negeri ini. – UTUSAN