ALOR SETAR: Seramai 19 individu ditahan setelah didapati positif dadah dalam operasi bersepadu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kota Setar dan Pokok Sena, semalam.
Timbalan Pengarah (Operasi) Zon Maritim Kuala Kedah, Leftenan Maritim Zool Hilmi Mohd. Nadzir berkata, operasi tersebut dijalankan di sekitar perairan Kuala Kedah bagi membanteras kegiatan penagihan dadah dalam kalangan komuniti nelayan di sini.
Katanya, operasi kira-kira pukul 10 pagi itu melibatkan seramai 60 pegawai dan anggota daripada kedua-dua agensi terlibat.
“Serbuan dilakukan di jeti-jeti bot sekitar muara Kuala Kedah serta pemeriksaan rawak terhadap bot nelayan tempatan yang berada di kawasan berhampiran.
“Hasil operasi itu, seramai 19 individu ditahan kerana didapati positif methamphetamine. Selain itu sebuah bot nelayan tempatan kelas B turut diambil tindakan kerana didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, kesemua individu ditahan merupakan warganegara tempatan berusia antara 25 hingga 50 tahun.
“Mereka yang ditahan diserahkan kepada pihak AADK untuk tindakan lanjut. Pihak Maritim Malaysia menegaskan bahawa kami tidak akan berkompromi terhadap sebarang kegiatan yang melanggar undang-undang di perairan negara.
“Kami amat mengalu-alukan aduan mahupun laporan mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut. Maklumat mengenai perkara itu boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579,” katanya. – UTUSAN










