18,819 petugas kesihatan siap siaga hadapi banjir 

18,819 petugas kesihatan siap siaga hadapi banjir 

PENDUDUK kampung membawa keluar barang keperluan untuk dipindahkan ke PPS akibat banjir di Kampung Cemperai Dengkil,Selangor. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Seramai 18,819 kakitangan dan petugas Kementerian Kesihatan (KKM) diletakkan dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi bencana banjir yang dijangka pada bulan ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, siap siaga itu terkandung menerusi Surat Arahan Persediaan Menghadapi Banjir Monsun Timur Laut (MTL) yang diedarkan kepada semua Pengarah Kesihatan Negeri dan Institusi KKM sejak 21 September lalu.

Beliau berkata, mereka yang terlibat termasuk 6,397 pasukan perubatan yang berperanan melawat dan memberi rawatan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selain 4,688 pasukan kesihatan yang menjalankan pemantauan dan kawalan penyakit.

“Kami turut menyediakan seramai 5,964 anggota Pasukan Mental Health and Psychosocial Support Services (MHPSS) yang akan memberikan dan menyelaraskan perkhidmatan sokongan psikososial kepada mangsa dan petugas.

“Selain itu, seramai 1,770 anggota Pasukan Rapid Assessment Team (RAT) dan Rapid Response Team (RRT) turut dipertanggungjawabkan  memberi respon bagi mencegah dan mengawal kejadian wabak semasa banjir,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, beberapa siri mesyuarat kesiapsiagaan bagi menghadapi banjir diadakan antara Ibu Pejabat KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN).

Dr. Noor Hisham berkata, semua JKN juga mengemas kini maklumat peralatan dan kenderaan serta keperluan logistik lain dan bersiap sedia untuk digunakan semasa banjir bagi meneruskan kesinambungan perkhidmatan kesihatan. 

Menurutnya, stok bekalan ubatan di fasiliti kesihatan juga mencukupi untuk tiga bulan dan stok tambahan tiga bulan disimpan oleh pembekal yang sentiasa bersedia untuk digunakan apabila diperlukan KKM.

“Selain itu, stok bekalan kit ujian RTK-Antigen Covid-19, ubatan Covid-19, dan vaksin juga mencukupi,” katanya.

Katanya, semua JKN juga mengenal pasti fasiliti kesihatan alternatif kepada fasiliti kesihatan yang berisiko banjir bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat sekiranya fasiliti kesihatan tersebut terjejas operasi akibat banjir.  

Dalam pada itu, katanya, setakat 9 pagi ini, terdapat 419 mangsa banjir ditempatkan di empat PPS iaitu masing-masing dua di Selangor dan Perak disebabkan hujan lebat dan ribut petir. 

Jelasnya lagi, pasukan perubatan dan kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah yang terlibat digerakkan bagi memberi perkhidmatan kepada mereka.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya