PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar mempertimbangkan untuk mewujudkan semula jawatan Setiausaha Parlimen dalam barisan kepimpinan Kerajaan Perpaduan nanti.
Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, ini kerana keperluan itu perlu dipertimbangkan dalam konteks mendidik teknokrat politik dan membantu mewujudkan bakat baru dalam pentadbiran negara.
Bagaimanapun, beliau berkata, jawatan itu tidak perlu diwujudkan dengan bilangan yang besar dengan bukan setiap kementerian harus mempunyai jawatan tersebut.
“Sekiranya Kabinet itu dikecilkan bilangannya, itu adalah sesuatu yang sangat diperlukan pada masa ini kerana memandangkan kritikan rakyat selama ini (apabila) terlampau ramai menteri yang tidak tahu kerja, yang tidak masak dengan subjeknya dan tidak ada pengalaman untuk mentadbir sesebuah kementerian.
“Jadi dalam konteks melatih pentadbir politik yang baik, sebilangan Setiausaha Parlimen yang dituntut di bawah Perlembagaan Perkara 43 harus dipertimbangkan semula, tetapi bilangannya boleh dimuktamadkan Perdana Menteri.
“Mengambil kira pengamalan saya berkhidmat di bawah Tun Abdul Razak Hussein pada 1974, Perdana Menteri ketika itu memberi beberapa ruang untuk bakat baru belajar bagaimana bertanggungjawab membantu menteri, timbalan kementerian di Parlimen, jadi dengan cara itu terasuh beberapa individu yang lama kelamaan meningkat menjadi menteri dan timbalan.
“Kita sudah melihat keadaan di mana orang itu terus menjadi menteri, ini bahaya besar sebab seseorang itu tidak memahami cara pendekatan, budaya mentadbir sesebuah kementerian, jadi (perlunya) mengelakkan risiko ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Semalam, penganalisis politik dan ekonomi berpandangan, Perdana Menteri perlu menyusun semula barisan Kabinet dengan 25 jemaah menteri mencukupi untuk mengemudi pentadbiran Kerajaan Persekutuan dalam tempoh lima tahun akan datang.
Ini kerana Kabinet sebelum ini sering dianggotai lebih 30 menteri sehingga mewujudkan percanggahan tugas antara menteri-menteri.
Dalam masa sama, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said juga pernah mencadangkan jawatan setiausaha Parlimen diwujudkan semula jika Kabinet dikecilkan.
Mengulas lanjut, Rais berkata, bilangan menteri dalam Kabinet boleh diperkecilkan dengan mengambil kira gabungan beberapa sektor kementerian.
Bagaimanapun, katanya, kementerian luar, dalam negeri, pendidikan, pertahanan dan kewangan harus mempunyai portfolio sendiri.
“(Bilangan) kementerian kalau nak betul sesuai dengan semangat apa diumumkan Anwar, (maka) perlu tidak lebih 25.
“Sebagai sebuah negara boleh dianggap kecil, kita tak perlu mempunyai kementerian sampai 30, ini betul-betul tidak mencerminkan untuk mengajukan sebuah kerajaan efisien.
“Tetapi dalam sama sama, amali politik memang sukar (yang mana wakil) kementerian dituntut pelbagai pihak, namun ketegasan itu perlu ada, malah timbalan menteri juga boleh pegang satu atau dua kementerian,” katanya. – UTUSAN










