Shahidan ‘gempur’ Bintong

[VIDEO] Shahidan ‘gempur’ Bintong

SHAHIDAN Kassim mengunjungi kawasan Bintong diiringi konvoi kereta, lori dan ratusan anak muda menunggang motosikal di Kampung Wang Besar, Bintong, Perlis, malam tadi.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Suhu politik di negeri ini menjelang 24 jam sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semakin panas apabila Datuk Seri Shahidan Kassim bersama penyokongnya ‘menggempur’ Bintong yang merupakan kubu Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man malam tadi.

Shahidan yang merupakan calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Arau diiringi konvoi kereta, lori serta ratusan anak muda yang menunggang motosikal singgah di Bilik Gerakan PN di Kampung Wang Besar, Bintong iaitu kira-kira satu kilometer dari kediaman Azlan.

Beliau meluangkan masa kira-kira 20 minit di kawasan berkenaan bagi beramah mesra dengan penyokong PN sebelum beredar dengan diiringi konvoi berkenaan.

Langkah Shahidan pergi ke Bintong itu turut menarik perhatian ramai termasuk puluhan petugas media yang membuat liputan.

SHAHIDAN Kassim mengunjungi Bintong diiringi konvoi kereta, lori dan ratusan anak muda menunggang motosikal di Kampung Wang Besar, Bintong, Perlis malam tadi.

Sebelum ini, Shahidan memberi peringatan tegas akan memastikan Azlan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri kalah di Bintong pada PRU15.

Shahidan dilaporkan berkata, selain memastikan kemenangan di Parlimen Arau, fokus memastikan kekalahan Azlan dalam usaha memenangkan PN juga menjadi keutamaan.

“Matlamat kita adalah untuk jatuhkan Menteri Besar dengan dahsyatnya kerana  dia melanggar keputusan UMNO Bahagian berhubung isu pemilihan calon. Saya akan pergi ke Bintong untuk berkempen dan menceritakan keadaan yang sebenarnya.

“Bahagian Arau dengan terang mencadangkan lima nama sebagai calon Parlimen dan DUN Arau namun calon-calon yang dihantar itu tidak terpilih,” kata Shahidan.

Sementara itu, Shahidan ketika ditemui pemberita berkata, gelombang rakyat akan memastikan Barisan Nasional (BN) tumbang di negeri ini pada  PRU15.

“Gelombang rakyat sekarang ini terutama orang muda menyokong PN. Ini sesuatu yang cukup menarik dan mereka tahu inilah parti yang mampu memberi pembelaan kepada mereka,” katanya ringkas sebelum beredar.

Di kerusi panas Parlimen Arau, Shahidan bakal berdepan Datuk Rozabil Abd. Rahman (BN) dan Fathin Amelina Fazlie (PH) dalam pertembungan tiga penjuru.

Sebagai rekod, Shahidan yang sudah hampir 40 dalam tahun dalam politik menguasai Parlimen Arau pada Pilihan Raya Umum 1986,1990,2013 dan 2018 selain pernah menjawat jawatan sebagai Menteri Besar dari 1995 hingga 2008. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya