Veteran UMNO mahu Tok Mat runding gabungan bentuk kerajaan

Veteran UMNO mahu Tok Mat runding gabungan bentuk kerajaan

ABDUL Khalid Mohd. Nasir (dia dari kiri) dan pemimpin veteran UMNO Perak menunjukan kenyataan akhbar mendesak Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan Presiden UMNO dan Pengerusi BN dalam sidang akhbar di Ipoh, Perak, hari ini. - UTUSAN//ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Veteran UMNO Perak tidak ketinggalan menyertai desakan supaya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berikutan kekalahan teruk parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), semalam.

Pengerusi Veteran UMNO Perak, Datuk Abdul Khalid Mohd. Nasir berkata, Ahmad Zahid perlu bertanggungjawab atas kekalahan BN terutama kerana kempen-kempen pihak lawan banyak berkisar kepada keperibadian Pengerusi BN itu.

Beliau berkata, antaranya propaganda  ‘undi BN undi Zahid jadi Perdana Menteri’  sangat berkesan mempengaruhi pengundi dan terutama mereka yang tidak tahu perjalanan politik negara.

“Dalam keadaan sekarang,  tiada jalan lain, Ahmad Zahid kena ambil tanggungjawab kekalahan ini dan harus meletak jawatan dengan segera supaya ia dipangku oleh Timbalannya, Datuk Mohamad Hasan.

“Biar Timbalan Presiden yang meneruskan apa jua perundingan dengan parti-parti gabungan lain dalam pembentukan kerajaan campuran yang akan berlaku,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya,  jika Ahmad Zahid sayangkan UMNO dan berjiwa besar, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu perlu menyahut desakan mereka.

Katanya, sudah sampai masanya Ahmad Zahid berundur dan parti akan memilih pengganti.

“Setahun lalu lagi kami sudah bersuara agar beliau melepaskan jawatan. Beliau bercuti sekejap dan ketika itu keadaan parti sudah ‘cantik’, tetapi beliau kembali dengan alasan Presiden perlu bertugas sebagai Presiden, bukan Presiden yang bercuti,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Abdul Khalid berkata, BN perlu bergabung dengan Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerajaan bukannya dengan Pakatan Harapan (PH) seperti yang dipersetujui dalam Persidangan Agung UMNO (PAU) untuk menolak Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.