PETALING JAYA: PKR menempelak Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man gagal menjawab isu yang dibangkitkan berhubung penganugerahan projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat 2 bernilai RM2 bilion.
Timbalan Presidennya, Rafizi Ramli berkata, sehingga kini tiga perkara pokok dalam isu berkenaan masih belum dijawab Tuan Ibrahim.
Beliau pelik kenapa tiada sebarang penafian dibuat menteri itu mengenai pelantikan sebuah syarikat kontraktor yang didakwa sebagai kroni UMNO dalam projek tebatan banjir Krubong-Durian Tunggal bernilai RM578.6 bilion.
“Tuan Ibrahim juga tidak menafikan dokumen yang menyenaraikan dua projek besar melibatkan syarikat kontraktor itu adalah milik kerajaan.
“Kegagalan itu sekali gus mengesahkan yang kementeriannya memang menyenarai pendek syarikat itu sebagai kontraktor projek tebatan banjir Sungai Langat 2 di samping proses dalaman yang turut mengesyorkan pelantikan secara rundingan terus tanpa tender terbuka,” katanya dalam sidang akhbar mingguan di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.
Kelmarin, Rafizi mendakwa Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dalam proses untuk menganugerahkan projek secara rundingan terus kepada sebuah syarikat kontraktor ketika pentadbiran kerajaan sementara.
Bagaimanapun, Tuan Ibrahim menafikan dakwaan itu kerana semua proses perolehan atau rundingan dengan pihak kontraktor ditangguhkan sebaik sahaja kerajaan dibubarkan pada 10 Oktober lalu.
Rafizi berkata, semakan turut mendapati KASA menganugerahkan projek bernilai lebih RM2.3 bilion kepada syarikat kontraktor berkenaan sejak enam tahun lalu.
Sedangkan katanya, syarikat itu pernah dikritik Ketua Audit Negara pada 2016 berikutan kelewatan prestasi kerja.
Dalam perkembangan sama, jelasnya, pendedahan yang dibuat adalah semata-mata demi kepentingan rakyat terutama dalam keadaan cuaca yang tidak menentu kini.
“Ini bukan projek kenduri kampung kerana nilainya berbilion ringgit untuk rakyat. Sebab itu saya bangkitkan isu ini kerana kita tengok Shah Alam sudah banjir dan hujan berterusan,” katanya.
Bagaimanapun Rafizi menegaskan tidak akan melaporkan isu berkenaan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.
Katanya, pengalaman selama 11 tahun mendedahkan pelbagai skandal kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menemui kegagalan kerana tiada sebarang tindakan dibuat. – UTUSAN