Tiga daripada 7 individu ditahan PDRM atas kesalahan edar risalah  

Tiga daripada 7 individu ditahan PDRM atas kesalahan edar risalah di pangkalan tentera  

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 30 kertas siasatan dibuka Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kesalahan semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sejak 5 November lalu sehingga semalam.

Sepanjang tempoh sama juga, sebanyak tujuh individu ditahan.

Pengarah Operasi PRU15 PDRM, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, kesemua mereka ditahan membabitkan kes yang dilaporkan di Perak, Pahang, Kelantan dan Sarawak.

Kata beliau, sebanyak lima kertas siasatan dibuka di Perak, empat di Negeri Sembilan dan Kelantan, Kedah, Selangor, Pahang dan Sarawak (tiga), Kuala Lumpur (dua), manakala satu di Melaka, Terengganu dan Sabah.

“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 147, Seksyen 379, Seksyen 427, Seksyen 435, 436, Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

“Kita turut menyiasat berapa kesalahan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata Hazani, daripada jumlah yang ditahan, seramai tiga individu telah ditahan di pekarangan pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak, kerana melakukan pengedaran risalah parti politik.

“Pangkalan TLDM yang telah diwartakan sebagai kawasan larangan, tiga lelaki itu telah melanggar peraturan yang ditetapkan kerana mengedarkan risalah politik ke peti surat rumah di kawasan tersebut.

“Kesemua individu itu diberikan kelulusan masuk pangkalan bagi urusan melawat saudara sahaja, namun kesemua mereka telah melakukan aktiviti pengedaran risalah politik tanpa sebarang kelulusan dari pihak TLDM,” jelasnya.

Dalam perkembangan berasingan, Hazani berkata, sebanyak 1,522 permit ceramah dikeluarkan PDRM di 14 kontinjen seluruh negara.

Jelas beliau, kontinjen paling banyak permit dikeluarkan iaitu Sabah dan Sarawak dengan 265 diikuti Kedah (158) dan Kelantan (122).

“Hanya satu ceramah politik yang dikesan dijalankan tanpa permit di Sarawak, semalam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya