SHAH ALAM: ‘This is Malaysia’ atau ‘Inilah Malaysia’ yang dilancarkan hari ini adalah inisiatif penyanyi dan penerbit, Sasi The Don dengan matlamat menekankan kepentingan dan kelebihan kerjasama bermakna dalam usaha membina Malaysia yang lebih progresif.
Inisiatif yang disokong Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, menampilkan lagu tema dan video muzik ‘This Is Malaysia’ yang digubah dan dipersembahkan oleh Sasi dan turut mengetengahkan bakat sedang meningkat naik, Nina Nadira, Eddie G, serta Marissa Kee.
Menurut Sasi, beliau menerbitkan lagu tersebut dengan muziknya digubah penerbit, D’Navigator, manakala proses adunan disempurnakan Deyo Deluxshion dari Singapura dan proses master oleh Bjorn Engelmann dari Sweden yang menerima pencalonan pada Anugerah Grammy 2021.
“Inisiatif ini akan mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia dengan menggalakkan kerjasama bermakna secara menyeluruh, terutama dalam industri kreatif, di mana terdapat ruang untuk mencungkil dan memupuk bakat tempatan.
“Dengan menekankan kepentingan kita meyakini kelebihan satu sama lain dan menyumbang kepada kemajuan negara, ‘This Is Malaysia’ bakal memberi inspirasi serta menyerlahkan bakat insan untuk mewujudkan persekitaran membolehkan rakyat Malaysia menyokong satu sama lain, sekali gus meningkatkan kualiti dan taraf hidup berasaskan cogankata inisiatif ini, “My Home. My Life. My Pride.” (“Rumahku. Hidupku. Kebanggaanku”).
“Saya bertekad memberi inspirasi kepada rakyat menjalin kerjasama bermakna yang menyokong matlamat kita untuk hidup secara harmoni antara satu sama lain dan alam sekitar menerusi lagu tema dan dokumentari ‘This Is Malaysia’,” katanya dalam satu kenyataan.
Sasi juga percaya ‘This Is Malaysia’ akan membakar semangat rakyat Malaysia dan menjadikan mereka lebih yakin terhadap bakat mereka sendiri.
Jelasnya, beliau bukan sahaja mahu rakyat Malaysia melihat kempen ini sebagai contoh apa yang boleh dicapai jika mereka berganding bahu dengan matlamat bersama, tanpa mengira industri, sambil berusaha menonjolkan keunikan negara di peta dunia.
“Lagu ‘This Is Malaysia’ boleh didapati di semua platform penyiaran muzik mulai hari di https://www.youtube.com/watch?v=3IABLKG_ECk dan tonton dokumentari penuh inspirasi ini di www.thisismalaysia.org,”katanya.
Mengulas mengenai dokumentari inspirasi tersebut, Sasi berkata, ia memaparkan kisah rakyat Malaysia biasa yang melakukan perkara luar biasa untuk meletakkan Malaysia di persada dunia menerusi kerjasama bermakna.
Dokumentari terbabit katanya, memaparkan kisah rakyat Malaysia yang terkenal daripada industri berbeza menceritakan pengalaman hidup dan kesungguhan mereka untuk menempa kejayaan.
“Antara personaliti terkenal yang diketengahkan dalam dokumentari selama sejam itu termasuk penyanyi Man Bai, pemain boling negara Shalin Zulkifli, ikon fesyen Melinda Looi, usahawan tegar Iqbal Ameer, dan pakar perubatan terkenal yang dikenali dengan gelaran Dr.Teddy Bear, Dr.Madhu Sudhan.
“Malah ramai lagi rakyat Malaysia penuh inspirasi turut berkongsi kisah mereka menyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran negara kita yang sungguh indah ini,”katanya.
Mengulas lanjut mengenai lagu
‘This Is Malaysia’, ia turut memaparkan remix atau gubahan semula lagu Melayu pertama Sasi yang dicipta pada 2002 bertajuk ‘Suatu Impian’ dan dipersembahkan dengan Amy Search.
Ia turut menampilkan versi baharu lagu klasik “Rasa Sayang” bersama penyanyi Malaysia Sharifah Sharifah Afiffah dan penyanyi rap B-Heart dan Shou Raion. –UTUSAN