PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan membuat keputusan dalam masa terdekat berhubung status siapakah Perdana Menteri yang ke-10.
Sehingga semalam tiada sebarang perisytiharan rasmi daripada Istana Negara tentang siapakah ahli Parlimen yang bakal dilantik sebagai Perdana Menteri selepas PRU15 berakhir Sabtu lalu.
Seri Paduka turut menyeru rakyat supaya menerima apa sahaja keputusan berkaitan pelantikan tersebut serta pembentukan kerajaan baharu kelak.
“Marilah bersama terima keputusan rakyat, terima keputusan wakil-wakil rakyat dan terima keputusan Yang di-Pertuan Agong. Sila rasional dan kita perlu teruskan, kita perlu bergerak ke hadapan untuk negara kita yang tercinta ini.
“Biar saya buat keputusan dalam masa terdekat,” titah baginda ketika berkenan mencemar duli bertemu pemberita di hadapan Pintu 2, Istana Negara di Kuala Lumpur semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Yang di-Pertuan Agong menitahkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menghadap pada pukul 4.30 petang semalam.
Ia susulan tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10
Anwar ketika bercakap kepada pemberita sejurus selepas menghadap Seri Paduka memberitahu, Yang di-Pertuan Agong memberikan tempoh masa untuk gabungan parti mewujudkan kerajaan perpaduan.
Muhyiddin pula dalam sidang akhbarnya berkata, pihaknya sudah menyerahkan surat akuan berkanun (SD) oleh 115 ahli Parlimen bagi membuktikan PN sudah mendapat sokongan majoriti mudah kepada pejabat Istana Negara, kelmarin.
Mengenai kerajaan perpaduan, beliau menegaskan, pendirian parti itu sejak dahulu adalah tidak akan mengadakan kerjasama dengan PH.
Sementara itu, Seri Paduka menitahkan 30 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk menghadap baginda hari ini secara individu pada pukul 10.30 pagi ini di Istana Negara.
Mengenai SD, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla menjelaskan, ia bertujuan menzahirkan sokongan kepada mana-mana wakil rakyat yang disokong sebagai Perdana Menteri (PM).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Haniff berkata, SD sebagai satu kaedah menzahirkan sokongan, bertujuan memudahkan Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan melantik PM dalam kalangan wakil rakyat yang mendapat sokongan terbesar di Parlimen.
“SD sebenarnya bukan soal laku atau tidak, sebaliknya salah satu cara bagi menzahirkan isu berkaitan sokongan berhubung mana-mana individu untuk lantikan Perdana Menteri.
“Ini supaya memudahkan Yang di-Pertuan Agong buat keputusan. Sebab untuk lantik PM apabila tiada majoriti, maka kita tak boleh terus panggil parti yang tiada majoriti mudah, atau panggil ketuanya dan terus lantik sebagai PM macam dahulu,” katanya di sini, semalam.
Justeru, kata peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, tidak timbul isu sama ada satu-satu SD itu sah dan laku ataupun tidak.
Beliau berkata, dalam situasi Parlimen tergantung maka SD salah satu cara menentukan sokongan wakil rakyat kepada PM, lebih-lebih lagi sebelum Parlimen bersidang.
“Jadi apabila Parlimen tergantung sekarang, suka atau tidak, perlu dilantik seorang individu di Dewan Rakyat yang ada sokongan majoriti. Di situlah SD menjadi salah satu cara mengesahkan sokongan. Ini terutama apabila Parlimen belum bersidang.
“Kalau Parlimen sudah bersidang, maka cara terbaik dan termatang adalah melalui undi percaya. Jadi sekarang ini Parlimen belum bersidang,” katanya.
Menjelaskan lanjut beliau berkata, dalam soal PN dan PH masing-masing mendakwa sudah ada SD mencukupi untuk membentuk kerajaan, tapisan yang terperinci akan dibuat bagi memastikan kesahihan sokongan.
“Itulah sebabnya Agong pada Ahad lalu bertitah supaya pertama sekali, majukan bukti-bukti sokongan dengan keterangan yang cukup melalui Speaker Dewan Rakyat. Jadi, Speaker akan melihat, contohnya jika ada seorang ahli Dewan Rakyat sokong Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Tapi ahli dewan rakyat tersebut juga SD menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim, misalnya. Jadi di situlah perlu disahihkan sokongannya. Jadi kalau keadaan begitu, maka perlu ditapis dan disaring oleh orang yang diberi tanggungjawab iaitu Speaker. Bawalah dokumen-dokumen kepada Agong,” katanya. – UTUSAN










