AMPANG: Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir menegaskan bahawa penduduk Pangsapuri Seri Nilam di sini perlu melihat kembali prestasi penyandang Ahli Parlimennya, Datuk Zuraida Kamaruddin pada penggal lalu yang gagal dalam menyelesaikan isu-isu setempat rakyat di kawasan tersebut.
Beliau yang juga calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Parlimen Jerlun meminta penduduk di sini meneliti semula tanggungjawab yang diberikan kepada Zuraida ketika menjadi sebahagian daripada Kabinet juga tidak diselesaikan dengan baik.
“Contoh isu perumahan mampu milik di Jerlun, Kedah (ketika Zuraida menjawat jawatan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) di mana proses pemilikan rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) yang lewat hingga menyebabkan PPR tersebut terbiar dan mengalami kerosakan.
“Saya berharap penduduk Pangsapuri Seri Nilam bijak di dalam menentukan wakil rakyat mereka di Parlimen pada PRU15 nanti,” katanya ketika sesi temu wakil penduduk Pangsapuri Seri Nilam, Ampang, malam tadi.
Dalam pada itu, Mukhriz yakin Dr. Nurul Ashikin Mabahwi adalah antara calon PRU15 Parlimen Ampang yang terbaik kerana merupakan seorang yang pakar dan berpengetahuan dalam bidang pengurusan bencana dan banjir.
“Dengan kepakaran yang ada, Nurul Ashikin mampu untuk memberi impak positif kepada isu-isu setempat di Ampang memandangkan beliau juga adalah anak jati Ampang,” jelasnya. – UTUSAN










