PETALING JAYA: Veteran politik, Tan Sri Dr. Rais Yatim menasihati Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan kepemimpinannya supaya meneliti semula buku Kod Etika Bagi Anggota-Anggota Pentadbiran dalam usaha memastikan teras perkhidmatan yang baik dan disegani untuk tempoh lima tahun akan datang.
Yang Dipertua Dewan Negara itu berkata, buku tersebut mengandungi segala kod dan etika khusus untuk mengendalikan urusan dan pentadbiran negara.
“Dalam melantik barisan Kabinet, mesti diambil orang yang kuat kerja dan perlu lihat semula beberapa etika yang ada ditinggalkan sistem kita di Jabatan Perdana Menteri.
“Ada buku diwujudkan sejak zaman Tun Abdul Razak Hussein dan diperbaharui setiap musim sehingga musim Tun Dr. Mahathir Mohamad. Selepas Dr. Mahathir, saya tak nampak buku ini dirujuk balik.
“Buku etika anggota pentadbiran adalah buku agak keramat, tetapi dibelakangkan selepas pentadbiran Dr. Mahathir, jadi penting ditengok semula untuk mengetahui etika seseorang menteri.
“Buku itu juga amat wajar dikemaskini pada hari pertama Kabinet bersidang dan setiap menteri atau timbalan menteri mesti baca dan mematuhinya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Mengulas lanjut, Rais yang memulakan karier politiknya pada 1974 di bawah pimpinan Tun Abdul Razak Hussein menambah, Anwar juga wajar melihat semula faedah kepada anggota pentadbiran termasuk kepada Perdana Menteri, menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik.
Beliau berkata, ini kerana faedah tersebut disifatkan beliau sudah ‘dinyah mati’.
“Harus dilihat dalam konteks undang-undang yang ada oleh kerana banyak menteri buat tuntutan bukan-bukan, tetapi ketua setiausaha kementerian atau ketua pengarah kadang-kadang segan mahu tegur.
“Oleh itu satu sistem yang mengawas menteri menerusi Jabatan Perdana Menteri mesti ada. Saya dulu semasa berkhidmat di bawah Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn dan Dr. Mahathir, sentiasa diawas oleh petugas dari Jabatan Perdana Menteri,” jelasnya. – UTUSAN










