Tekad Saiful Daniel bawa pembaharuan di Sena  - Utusan Malaysia

Tekad Saiful Daniel bawa pembaharuan di Sena 

SAIFUL Daniel Mohd. Yusof (kanan) turun padang menziarahi warga emas uzur di kawasan DUN Sena, Kangar, Perlis hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Barisan Nasional (BN) yakin merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sena dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekali gus menebus semula kekalahan parti itu pada pilihan raya lalu.

Tekad membawa pembaharuan di kawasan berkenaan, calon BN kerusi tersebut, Saiful Daniel Mohd. Yusof yakin pengundi akan memberi kepercayaan kepada beliau selain kecewa dengan pemerintahan kerajaan 22 bulan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Bagi membantu membawa kemenangan kepada parti, Saiful Daniel yang juga bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar terus mempergiat kempen siang dan malam dalam mendekati sehabis ramai pengundi menjelang hari pengundian pada Sabtu ini.

Menurut Saiful Daniel, selain mempergiat sesi turun padang dan program ziarah bagi mendekati masyarakat di kawasan itu, beliau juga memberi fokus di kawasan-kawasan peti undi yang tewas sebelum ini.

“Saya juga fokus bertemu pengundi muda di kawasan-kawasan tumpuan untuk mendekati mereka bagi meraih sokongan menjelang hari pengundian ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Saiful Daniel yang merupakan calon muka baharu ditampilkan BN pada PRU15 bakal mencabar penyandang kerusi berkenaan, Asrul Nizan Abd. Jalil (PH); bersama dua calon lain iaitu Datin Marzita Mansor (PN) dan Mohd. Faizal Yunus (Pejuang).

Pada PRU14, kerusi DUN Sena dimenangi oleh Asrul Nizan menerusi majoriti tipis 314 undi menewaskan calon BN dan Pas menerusi pertembungan tiga penjuru.

Saiful Daniel berkata, menerusi kempen dilaksanakan sebelum ini, pihaknya juga mendapati isu-isu seperti masalah jalan dan rumah-rumah daif sekitar kawasan bandar di sini perlu diberikan perhatian sewajarnya.

“Saya juga lihat masyarakat Siam di sini mengharapkan sentuhan dan bantuan daripada wakil rakyat malah perkara ini akan diberikan perhatian sekiranya saya terpilih dalam PRU15,” katanya.

Tambahnya, beliau juga berharap agar pengundi di DUN Sena dapat memberikan peluang kepadanya untuk menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat di kawasan berkenaan bagi menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada mereka.

“Saya mempunyai pengalaman dalam hal ehwal politik dan mungkin disebabkan itulah parti memilih saya untuk membantu membawa perubahan di DUN Sena pada kali ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya