Tawaran RM1,000 sekaki dimaklumkan dalam Kabinet - Khalid

Tawaran RM1,000 sekaki dimaklumkan dalam Kabinet, Khalid jawab Johari

KHALID SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tawaran RM1,000 sekaki persegi untuk mengambil alih 230 ekar tanah di Kampung Baru sudah dilaporkan dalam Kabinet, malah telah diumumkan secara terbuka.

Menjelaskan perkara itu, calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Titiwangsa, Khalid Samad berkata, perkara itu akan dilaksanakan sebaik sahaja mendapat persetujuan daripada semua pemilik tanah kerana tidak mahu berlaku seperti di Kampung Melayu Sungai Baru.

“Kita sudah dilaporkan dalam Kabinet dan sudah diumumkan secara terbuka. Bukan main sorok-sorok, bukan macam dia (Datuk Seri Johari Abdul Ghani) punya bantahan, macam dia kata, itu dia bantah, ini dia bantah, tetapi tidak ada orang tahu.  

“Tawaran saya umum, awam dan sudah dilaporkan kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam Kabinet. Persetujuannya adalah apabila kita sudah dapat persetujuan daripada semua, maka kita akan laksanakan. Hanya tunggu persetujuan daripada pemilik. Itu bukan benda rahsia,” katanya selepas walkabout di pasar Keramat, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan yang dikemukakan Johari, sama ada tawaran RM1,000 sekaki persegi untuk mengambil alih 230 ekar tanah di Kampung Baru mendapat kelulusan Jemaah Menteri ataupun tidak.

Johari dilaporkan berkata, tawaran yang dibuat bekas menteri Wilayah Persekutuan itu membabitkan dana lebih RM10 bilion dan beliau mempersoalkan pihak mana yang akan memperuntukkan wang berkenaan.

Ketika ditanya mengenai adakah kerajaan mempunyai dana untuk membayar kepada pemilik, Khalid yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan turut berkata, kerajaan mempunyai sumber yang pelbagai untuk membuat bayaran tersebut.

“Pada Februari, kita sudah dapat 60 peratus daripada pemilih untuk setuju, jadi kita target Jun kita akan dapat, minimum pun dapat 80 peratus. Kalau dapat 80 peratus, kita boleh duduk berbincang macam mana hendak buat.

“(Peruntukan) That’s not a problem (Itu tidak menjadi masalah).  Kita boleh dapatkan peruntukan dari pelbagai sumber, dari Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (EPF), Lembaga Tabung Angkatan Tentera  (LTAT). Ini semua bisnes development. Bila sudah beli tanah, tanah itu milik kerajaan, penduduk dapat duit,” ujarnya.

Bagaimanapun, jelas Khalid lagi, tawaran itu tidak lagi berjalan kerana kerajaan PH sudah jatuh dan diambil alih oleh pemerintahan lain.

“Bila kita dijatuhkan, dia kira habislah. Perbadanan Kampung Baru tidak usahakan arahan kami dulu. Kita ada buat perbincangan dalam kumpulan kecil, hanya pemilik yang tidak bersetuju kita akan panggil untuk jelaskan. Masalahnya sebab banyak sangat politiking.  

“Orang kata RM3,000 setiap kaki persegi dan status tanah itu kita tidak tukar, kekal tanah milik Melayu. Ada yang kata kita hendak batalkan status Melayu, harga naik sampai RM3,000. Itu yang saya respons, kalau kita hendak buat, tidak mungkin buat. Kalau buat pun lepas 10 generasi, masa itu kita sudah dalam kubur,” ujarnya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN