Tawaran BN untuk rakyat Malaysia

Tawaran BN untuk rakyat Malaysia

Bersama rakyat…Ismail Sabri Yaakob beramah mesra dengan penduduk sambil diiringi calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (kanan) ketika berangkat pulang selepas Majlis Jelajah Santai Anak-anak Keramat di Perumahan Awam Seri Perlis 2, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur, semalam. UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menawarkan negara yang kukuh, kerajaan yang stabil, ekonomi yang mantap dan kebajikan terjaga dengan mengambil kira kepentingan semua lapisan masyarakat.

Ismail Sabri berkata, kerajaan Persekutuan yang kukuh dan stabil diperlukan bagi meneruskan momentum pemulihan ekonomi negara pasca Covid-19 selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) Sabtu ini.

“Gambaran pentadbiran yang saya akan buat selepas PRU15 telah pun ada gambarannya sewaktu sebelum pilihan raya. Saya mengambil kerajaan ini pada waktu yang sangat sukar. Kes Covid-19 sebanyak 24,000 sehari dengan kematian ratusan setiap hari.

“Katil di ICU hampir tidak mencukupi, ekonomi dalam keadaan yang amat teruk kerana sektor ekonomi telah ditutup hampir sepenuhnya. Perebutan kuasa di dalam politik daripada segi kestabilan politik tidak ada sebab dua Perdana Menteri telah bertukar.

“Namun, cuba lihat dalam setahun empat bulan ini, apa pencapaian yang telah saya lakukan. Daripada segi Covid-19, 24,000 (kes), akhirnya kita menjadi salah satu negara terbaik dalam menyelesaikan wabak ini apabila vaksinasi kita menjadi salah satu yang tertinggi daripada peratusan rakyat yang mendapatkan vaksin berbanding dengan negara-negara lain,” kata Perdana Menteri.

Menurut Ismail Sabri, pada ketika itu, ekonomi negara sangat teruk namun, Bank Negara Malaysia (BNM) mengisytiharkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga Malaysia mencapai 14.2 peratus.

“Ia sekali gus menjadikan negara kita sebagai salah satu negara yang terbaik daripada segi pencapaian KDNK. Daripada lima paratus pada suku pertama menjadi 8.9 peratus pada suku kedua dan meningkat 14.2 peratus pada suku ketiga tahun ini.

“Daripada segi pengangguran kita dapat kurangkan sehingga 3.6 peratus, kalau kurang daripada empat peratus ia dianggap sebagai guna tenaga kerja penuh, bermakna pengangguran juga kita dapat kurangkan.

“Begitu juga dengan Pelaburan Langsung Asing (FDI), pelaburan asing, perdagangan dan sebagainya. Jadi hari ini, kita buktikan daripada segi pemborongan dan peruncitan meningkat dengan begitu tinggi. Jadi daripada segi ekonomi juga dapat diselesaikan berbanding negara-negara lain,” katanya.

Sementara itu kata Ismail Sabri, beliau pada ketika itu juga berjaya menstabilkan politik negara melalui Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang.

“Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara kita yang kerajaan bersama pembangkang boleh duduk semeja menandatangani MoU supaya diwujudkan gencatan senjata di dalam negara yang menjadikan politik stabil ketika itu. Malah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan diluluskan dengan sokongan semua pihak secara sebulat suara.

“Undang-undang Anti Lompat Parti yang tidak pernah diluluskan, sudah lama kita cakap soal lompat parti.  Waktu saya, ia diluluskan dengan begitu tenang dan tidak ada bantahan daripada sesiapa pun. Akhirnya politik negara dapat distabilkan,” katanya.

Berbanding dengan yang lain katanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah dapat membuktikan kejayaannya sebagai Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang memerintah selama 22 bulan pula digulingkan oleh parti gabungan mereka sendiri selain Tan Sri Muhyiddin Yassin tumbang selepas 18 bulan.

“Walaupun saya 15 bulan (mentadbir negara), tetapi tidak dibubarkan oleh sesiapa. Jadi saya nak beritahu, kalau sepanjang tempoh itu saya boleh menyelesaikan pelbagai isu yang dibangkitkan, cubalah beri saya lima tahun. Banyak perkara yang boleh saya lakukan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri percaya kempen akan menjadi semakin sengit namun, beliau bimbang apabila banyak isu peribadi lebih banyak dibangkitkan namun, Barisan Nasional (BN) tidak memfokuskan isu-isu peribadi kerana ia tidak menjadi salah satu bahan untuk berkempen.

“Kita lebih tumpu kepada ‘produk’ dan apa yang kita boleh tawarkan untuk rakyat. Daripada segi manifesto, kita jauh lebih baik daripada manifesto parti lain sebab manifesto kita sebahagian besar adalah daripada Bajet 2023 yang telah dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Oktober lalu.

“Saya selalu menyebutkan bila kita bentang Bajet sebagai manifesto kita, ianya bukan janji kosong sebab sudah budgetted for. Semua yang kita bentangkan itu telah pun mempunyai dana yang mencukupi untuk dilaksanakan, cuma menunggu kepada kelulusan bajet sahaja.

“Manifesto kita bukan semata-mata yang menjanjikan bulan dan bintang, tetapi kita juga berpijak kepada janji nyata kerana semua yang telah dirancang mempunyai kewangan. Strategi kita lebih kepada memberikan tawaran kepada rakyat, menjual produk kita tetapi tidaklah memburukkan produk orang lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN