Takbur jadikan manusia ‘syaitan’

Takbur jadikan manusia ‘syaitan’

MOHAMAD Abdullah al-Amin (kanan) bersama Hassan Adli Yahya (kiri) dan moderator, Zakaria Othman dalam forum perdana di Masjid An-Nur, Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor malam tadi. -IHSAN/WAN JAILANI RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Manusia menjadi jahat dan melakukan maksiat kerana sifat takbur atau sombong yang mana sifat itu menjadi punca syaitan diperintah keluar daripada syurga Allah SWT.

Kesombongan syaitan itu dirakam dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat : ‘Sujudlah kamu kepada Adam,’ maka sujudlah mereka kecuali Iblis; ia enggan dan takabur dan adalah ia termasuk golongan orang yang kafir.  (al-Baqarah: 34)

Sifat sombong syaitan itu dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Apakah yang menghalangimu untuk bersujud (kepada Adam) di waktu Aku menyuruhmu?” Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripadanya. Engkau ciptakan aku dari api sedang dia Engkau ciptakan dari tanah.” (al-A’raf: 12)

Takbur atau sombong bermaksud membanggakan diri sendiri. Orang yang takbur akan melihat dirinya lebih besar atau hebat daripada yang lain dan memandang dirinya lebih sempurna berbanding orang lain.

Pendakwah, Mohamad Abdullah al-Amin berkata,  orang boleh jadi jahat dan nakal kerana wujudnya syaitan kerana syaitan jahat akibat takbur. 

“Orang kalau ada sifat takbur, dia boleh jadi jahat sendiri tanpa syaitan. Dia ada ilmu, dia salahkan orang itu orang ini dia sahaja betul dan dengan diri sendiri juga boleh berdosa kerana mengata, memperlekeh dan merendahkan orang.

“Sebab itu Allah suruh kita bertaubat, orang takbur susah nak minta maaf pada manusia, pada Allah. Sebagai contoh, kita rasa kita betul pada isteri padahal, kita sakitkan hati dia, buat macam-macam mengguris hati dia,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjadi ahli panel dalam Forum Perdana bertajuk `Mencari Maghfirah’ di Masjid An-Nur (MAN), Saujana Utama, di sini. malam tadi.

Seorang lagi ahli panel ialah Imam Muda Hassan Adli Yahya manakala Zakaria Othman bertindak selaku moderator dalam forum anjuran MAN itu.

Dalam majlis itu, turut diadakan penyerahan bantuan wang tunai RM100 seorang kepada 74 anak yatim di bawah kariah MAN. Sumbangan disampaikan oleh Nazir MAN, Hamzah Md. Amin.

HAMZAH Md. Amin menyampaikan bantuan kepada salah seorang anak yatim di Masjid An-Nur, Saujana Utama, Sungai Buloh, malam tadi. Turut sama, Setiausaha MAN, Khairur Rizal Jukiri (kanan).

Majlis yang bermula selepas solat maghrib itu mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran kira-kira 300 jemaah. Ia turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook Live.

Jemaah kemudiannya menikmati jamuan roti canai dengan gulai kawah, sup tulang dan roti benggali, kuih koci dan minuman panas.

Mohamad turut berkongsi enam cara untuk manusia mendapat pengampunan Allah agar beroleh kejayaan atau syurga di akhirat kelak.  

“Yang pertama adalah dengan cara meminta sendiri keampunan. Umat Islam perlu mengakui kesilapan yang dilakukan dan sentiasa berusaha meminta keampunan daripada Allah.

“Allah bagi pengampunan pada kita dengan jalan kita minta. Jadi kita diminta akui kesalahan, jangan sombong dengan kesalahan,” tambahnya.

Mohamad berkata, cara kedua Allah memberi pengampunan adalah dengan melakukan amalan yang mendapat pahala jika dibuat dan pada masa sama mendapat pengampunan.

“Seterusnya, kita mendapat pengampunan atas musibah yang berlaku, atas doa orang lain seperti anak soleh yang mendoakan ibu bapanya, pengampunan secara terus daripada Allah dan terakhir melalui syafaat Rasulullah SAW,” jelasnya.

Para jemaah menikmati jamuan yang disediakan usai forum perdana di Masjid An-Nur, Saujana Utama, Sungai Buloh malam tadi.

Sementara itu, Hassan berkata, umat Islam juga perlu belajar memaafkan orang supaya setiap amalan yang dilakukan memudahkannya dihisab nanti.

Katanya, ini kerana dibimbangi sifat tidak memaafkan orang lain menyebabkan seseorang itu tidak dapat masuk ke syurga.

“Sebab itu sifat marah adalah sifat iblis. Semua orang ada sifat marah tetapi apabila letak marah pada bukan tempat yang betul, ia menjadi zalim,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.