SPR diminta siasat parti pasang iklan, bendera lebih had

SPR diminta siasat parti pasang iklan, bendera lebih had

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Rembau membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau, di sini, bagi memohon pihak berkuasa itu serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat siasatan ke atas parti lawan yang didakwa mereka melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Ketua Cabang Keadilan Cabang Rembau, Mohd. Hafiz Mohamad berkata, laporan tersebut dibuat terhadap calon-calon Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang bertanding di Parlimen Rembau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini.

Menurut Mohd. Hafiz, pihaknya mendapati kedua-dua parti berkenaan memasang terlalu banyak papan iklan dan bendera parti di seluruh kawasan Parlimen Rembau.

“Jumlah bahan kempen yang dipasang tersebut adalah sangat melampau terutamanya di kawasan sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi. Pemantau kami yang bergerak di setiap DUN mendapati lebih 50 papan iklan bersaiz 10×30 kaki dan 20×40 kaki dipasang di jalan besar Kota (Rembau) ke Sendayan.

“Kami mengesyaki bahawa kedua-dua parti ini berbelanja lebih daripada RM200,000 hanya untuk bahan-bahan kempen ini. Ini melebihi had perbelanjaan yang dibenarkan Seksyen 19(1)(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Ujar Mohd. Hafiz lagi, berdasarkan Seksyen 19, seseorang calon pilihan raya melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang jika berbelanja melebihi RM200,000 untuk perjalanan dan pengurusan sesuatu pilihan raya di peringkat Parlimen.

Menurutnya lagi, isu kedua adalah berkenaan syarat papan iklan dan poster yang boleh dipamerkan sepanjang tempoh berkempen ketika ini.

Sehubungan itu, pihaknya akan meminta penjelasan daripada pihak Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Rembau berkenaan pemakaian panduan yang pernah dikeluarkan SPR pada pilihan raya umum lalu.

“Berdasarkan syarat tambahan SPR ini, hanya gambar Presiden, Timbalan Presiden bagi sesuatu parti politik dan gambar calon yang bertanding dibenarkan dicetak di atas bahan kempen.

“Namun, berdasarkan pemantauan kami, pihak BN menaikkan papan iklan yang mempunyai gambar Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di beberapa kawasan di sekitar Parlimen ini.

“Seperti mana kita sedia maklum, Ismail Sabri bukanlah Presiden atau Timbalan Presiden mana-mana parti politik malah beliau juga bukan calon yang bertanding di Parlimen Rembau,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Pilihan Raya Parlimen Rembau, Mohamad Najib Mustafa ketika dihubungi menyatakan pihaknya menunggu siasatan polis terlebih dahulu bagi tindakan selanjutnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya