SPR kemaskini daftar pemilih, logistik hadapi PRU16 awal

SPR kemaskini daftar pemilih, logistik hadapi PRU16 awal

SPR akan memperincikan anggaran kos keseluruhan berdasarkan keperluan semasa dan ketetapan pelaksanaan PRU apabila ia diputuskan kelak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kini bersiap sedia bagi melaksanakan pilihan raya pada bila-bila masa selaras dengan peruntukan undang-undang, peraturan dan prosedur operasi yang ditetapkan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha SPR, Datuk Khairul Sharil Idrus berkata, persediaan turut melibatkan aspek daftar pemilih, latihan petugas, logistik pilihan raya dan penyelarasan bersama agensi berkaitan bagi memastikan proses pilihan raya dapat dilaksanakan secara teratur, telus serta berkesan.

Katanya, SPR ketika ini sedang melaksanakan penelitian dan pengumpulan maklumat berkaitan keperluan operasi serta logistik pilihan raya termasuk aspek perolehan, pengurusan petugas, bahan pilihan raya dan lain-lain komponen berkaitan.

“Bagaimanapun, anggaran kos keseluruhan akan diperincikan berdasarkan keperluan semasa dan ketetapan pelaksanaan PRU apabila ia diputuskan kelak,” katanya semalam.

Dalam laporan Utusan Malaysia semalam, PRU16 berkemungkinan diadakan lebih awal sebagai penyelesaian kemelut politik Kerajaan Perpaduan di Johor dan Negeri Sembilan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, satu mesyuarat melibatkan kepemimpinan utama gabungan itu akan diadakan dalam masa terdekat bagi membuat keputusan berkenaan.

Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, kos bagi melaksanakan PRU16 dianggarkan mencecah RM1.3 billion, sekiranya diadakan dalam tempoh terdekat.

Katanya, peningkatan kos tersebut melibatkan pelbagai aspek termasuk logistik, elaun petugas, penggunaan teknologi, keselamatan dan penyediaan pusat mengundi di seluruh negara.

“Jumlah itu juga dijangka terus meningkat sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) termasuk di Johor dan Melaka diadakan secara berasingan daripada PRU16 disebabkan penggunaan jentera pilihan raya dan agensi berkaitan yang berbeza.

“Sehubungan itu, cadangan supaya pilihan raya negeri melibatkan Johor dan Melaka diadakan serentak dengan PRU16 dilihat sebagai langkah paling praktikal dan menjimatkan.

“Malah, paling penting SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Pendidikan dan ribuan guru serta penjawat awam lain yang terlibat dalam pengendalian pilihan raya juga tidak perlu digerakkan berulang kali.

“Langkah itu bukan sahaja memberi penjimatan besar kepada kerajaan, malah dapat mengurangkan gangguan terhadap operasi pentadbiran dan sistem pendidikan negara,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN