fbpx

Siti Bainun cuai jaga Bella hingga mangsa menderita – Hakim

SITI Bainun Ahd Razali hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi keputusan kes mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down, Bella. - UTUSAN/MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI

KUALA LUMPUR: Siti Bainun Ahd Razali bukan sahaja cuai kerana gagal menjaga kanak-kanak sindrom Down, Bella dengan baik malah kurang memberikan perhatian kepada mangsa yang ketika itu di bawah jagaannya.

Mahkamah Sesyen di sini berpendapat, jika pengasas Rumah Bonda itu menjaga Bella dengan baik dan penuh perhatian, sudah pasti kanak-kanak tersebut tidak menderita akibat kecederaan yang dialami.

“Mahkamah berpuas hati kecederaan Bella berlaku ketika mangsa berada dalam jagaan tertuduh (Siti Bainun),” jelas Hakim Izralizam Sanusi ketika membacakan keputusannya hari ini.

Beliau memerintahkan Siti Bainun membela diri terhadap kedua-dua pertuduhan mengabai dan menganiaya kanak-kanak sindrom Down berusia 13 tahun itu sehingga mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Siti Bainun kelihatan menangis sambil memeluk seorang wanita di kawasan galeri awam selepas mahkamah mengumumkan keputusan tersebut.

Dalam keputusannya, Izralizam berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan keempat-empat elemen bagi setiap pertuduhan.

Elemen-elemen itu ialah:

Pertama – Bella seorang kanak-kanak di bawah usia 18 tahun.
Kedua – tertuduh mempunyai pemeliharaan terhadapnya.
Ketiga – mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi ketika berada dalam jagaan tertuduh.
Keempat – Siti Bainun mengabai dan menganiaya Bella.

Menurut Izralizam, mahkamah berpuas hati dengan laporan pemeriksaan `bone age’ bertarikh 23 Julai 2020 bahawa Bella berumur dalam lingkungan 180 bulan bersamaan dengan 15 tahun.

Jelasnya, sementara itu, perbandingan imbasan X-ray pula menunjukkan umur Bella di antara 12 tahun dan 15 tahun.

“Jelas dibuktikan bahawa Bella berumur dalam lingkungan 13 tahun dan masih seorang kanak-kanak ketika tempoh kejadian seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan,” kata Izralizam.

Hakim berkenaan turut berpuas hati terhadap pembuktian elemen kedua bahawa Siti Bainun mempunyai hak jagaan dan pemeliharaan terhadap Bella berdasarkan perintah mahkamah bertarikh 24 September 2020.

Katanya, perintah itu menyebut Bella diletakkan di bawah jagaan tertuduh sehingga kanak-kanak itu berusia 18 tahun dengan syarat hak jagaan itu tidak boleh dipindah kepada pihak lain tanpa proses undang-undang yang sah.

Berkaitan elemen ketiga, mahkamah turut berpuas hati Bella mengalami kecederaan fizikal dan emosi berdasarkan keterangan doktor dan pakar perubatan yang merawatnya.

Tambahnya, Dr. S. Meenambigai dari Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang mula-mula membuat pemeriksaan terhadap Bella mendapati luka terbakar serta kesan luka lama berganda pada badan mangsa.

Menurut Izralizam, keterangan pakar pediatrik, Dr. Nizam Malik Bali Mohamed menyatakan banyak kesan luka lama pada muka, leher kiri, bahagian belakang, perut dan paha kanan pesakit.

Mahkamah berpuas hati dengan keterangan pakar bedah plastik, Dr. Salmi Mohamed Shukur yang merawat luka pada kedua-dua tangan Bella bahawa kecederaan serius akibat luka lecuran mengambil masa lama untuk sembuh.

“Luka terbakar tahap dua itu bukan disebabkan oleh kemalangan atau perbuatan sendiri,” jelas hakim berkenaan.

Keterangan itu disokong oleh keterangan Dr. Rizal Malik yang berpendapat kecederaan Bella akibat didera dan mustahil disebabkan oleh kemalangan kerana banyak kesan melecur berulang dikesan pada badannya.

Selain itu, mahkamah mengambil kira keterangan seorang jururawat Wan Zurina Wan Ismail yang pernah merawat Bella di sebuah pusat jagaan bahawa mangsa kerap mengigau dan menjerit pada waktu malam selepas kembali ke pusat berkenaan.

Menurut saksi itu, keadaannya berbeza berbanding sebelum ini yang mana kanak-kanak itu juga takut dan kelihatan trauma dengan orang sekelilingnya.

Izralizam berpuas hati, keterangan saksi-saksi mencukupi bagi membuktikan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi ketika dalam jagaan Siti Bainun.

Mahkamah turut merujuk keterangan salah seorang penghuni Rumah Bonda, Yasmin Nahar Mahmood, 19, bahawa Siti Bainun mendera Bella dengan menyimbahnya dengan air panas daripada mesin penapis air.

Sehubungan itu, Izralizam memanggil Siti Bainun membela diri terhadap kedua-dua pertuduhan selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Siti Bainun, 31, dijadual memberi keterangan bela diri secara bersumpah daripada kandang saksi selama lima hari berturut-turut iaitu pada 5 hingga 9 Disember ini.

Beliau membacakan keputusan selama hampir 25 minit dalam kamar bicara yang penuh sesak dengan orang awam terdiri daripada pegawai-pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan wakil daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, Zilfinaz Abbas, Zahida Zakaria, Fazeedah Faik dan Shakira Aliana Alias.

Pasukan pembelaan pula terdiri daripada peguam Nur’Aminahtul Mardiah Md. Nor, Mohammad Farhan Maaruf, Nurul Hafidzah Hassan, Asiah Abd. Jalil dan Nur Ellena Mohamed Razif mewakili Siti Bainun.

Turut hadir Datuk Khairul Anwar Rahmat, Datuk Ikbal Salam dan Mohd. Radzi Yatiman yang dilantik oleh Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku peguam pemerhati.

Siti Bainun, 31, dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah mengabai dan menganiaya kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara Februari dan Jun 2021 di Kondo Irama Wangsa, Wangsa Maju di sini.

Dia dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan menutup kes pada 28 Oktober lalu selepas memanggil 22 saksi memberi keterangan. Bicara bermula 30 Mac lalu.

Bella turut dipanggil memberi keterangan namun keterangan kanak-kanak perempuan itu didengar secara tertutup selama dua hari. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

RSS Error: WP HTTP Error: cURL error 28: Operation timed out after 10001 milliseconds with 0 bytes received