KANGAR: Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Azlan Man menyifatkan Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai pengkhianat kerana memilih meninggalkan parti dan bersama-sama Perikatan Nasional (PN).
Azlan berkata, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Shahidan pernah meminta pemimpin BN yang tidak tersenarai sebagai calon untuk reda dengan keputusan parti namun kini beliau dilihat bertindak sebaliknya dan cuba untuk melawan kehendak takdir.
Pada masa sama, beliau mempersoal sama ada Shahidan ikhlas berjuang untuk parti dengan menggunakan wadah UMNO dan BN selama ini atau hanya sekadar demi kepentingan diri sendiri semata-mata.
“Dia (Shahidan) sendiri lawan arus dengan kata-katanya sendiri dan saya lihat dia hanya pentingkan diri sendiri,” katanya sewaktu turun bersarapan bersama penduduk sekitar Kampung Salang, di sini, hari ini.
Yang hadir sama sama calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Sena, Saiful Daniel Mohd. Yusof.
Kebelakangan ini, Shahidan secara lantang mengkritik kepemimpinan Azlan dan turut menyifatkan Menteri Besar itu mengamalkan sikap warlord untuk menjatuhkannya, selain mengganggu sistem politik di negeri ini.
Dalam pada itu, Azlan menafikan dakwaan Shahidan itu dan menegaskan beliau tidak pernah cuba mempengaruhi sesuatu keputusan khususnya yang ditetapkan kepemimpinan parti.
“Kalau nak label saya warlord tak tepat langsung kerana saya tak pernah dilihat sebagai seseorang yang cuba mempengaruhi sesuatu. Pengundi tahu siapa warlord dan siapa Shahidan Kassim. Sekarang orang dah nampak siapa sebenarnya beliau,” katanya.
Tambah calon DUN Bintong itu, Shahidan menang selama lapan penggal berturut-turut dalam pilihan raya sebelum ini atas kekuatan BN dan UMNO namun beliau telah berpaling tadah hanya semata-mata disebabkan parti tidak memenuhi kehendak peribadi beliau.
“Kita juga akan pastikan dia kalah di Arau kerana dia kini adalah musuh BN,” katanya.
Pada PRU15, Shahidan bertanding atas tiket PN dalam pertembungan tiga penjuru menentang Datuk Rozabil Abd. Rahman (BN) dan Fathin Amelina Fazlie (PH). – UTUSAN